
"Wah!!! Tadarrujisme??? Apa ni?? Ajaran sesat yang baru ka??? Awat kebelakangan ni ada dakwaan pasai ajaran sesat???"
Mungkin itu yang anda fikirkan. Mungkin juga tidak. Sebenarnya kita tidak perlu terkejut dengan perkara ini. Ia bukan sesuatu yang baru, ia bukan bid'ah, ia bukan ajaran sesat. Tetapi ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah salah satu daripada ciri-ciri dan nilai-nilai agama Islam yang telah lama wujud dan berlaku sejak dulu, kini dan selamanya, InsyaAllah... Cuma sengaja saya istilahkan perkara ini agar jelas serta sebagai penekanan dan fokus saya tentang perkara ini.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah yang saya cuba sampaikan pada kali ini, adakah tadarruj itu seperti tabarruj? Atau mungkin ia sejenis haiwan tunggangan yang laju? Seperti buraq? Mari bersama kita rungkaikan tali permasalahan ini agar kita boleh guna tali ini untuk mengikat atau mungkin juga untuk menjahit, terserah pada anda...

Seperti istilah-istilah lain yang berbunyi "isme" atau "isma" di hujungnya, tentulah ia membawa maksud satu ideologi, satu pemahaman, satu pemikiran dan satu fikrah. Yang biasa kita dengar ialah nasionalisme, patriotisme dan sekularisme. Jadi, tadarrujisme merupakan satu pemahaman, fikrah dan idea yang wujud dalam Islam. Bagi mereka yang mempelajari syariah atau ciri-ciri hukum perundangan Islam pasti akan bertemu dengan perkara ini. Salah satu daripada ciri-ciri atau kelebihan dan keistimewaan Islam ialah sifat tadarruj.
Tadarruj berasal daripada bahasa arab (masdar) yang bererti beransur-ansur, berperingkat-peringkat, langkah demi langkah dan apa-apa sahaja maksud yang menunjukkan erti berlakunya sesuatu perkara dalam tempoh masa tertentu, bukan dengan sekelip mata atau terlalu cepat.
Mana bukti bahawa konsep tadarruj atau tadarrujisme merupakan ciri ajaran Islam? Mungkin kita dapat melihat beberapa contoh dalil iaitu sejarah perundangan Islam itu sendiri. Allah tidak terus memerintahkan umat Islam agar terus melakukan ibadat kepada-Nya, sebaliknya Allah mengajar umat manusia agar mengenali siapa Dia melalui perantaraan Nabi-Nya. Secara perlahan-perlahan dan berperingkat Nabi kita menyampaikan risalah pada umat manusia, mengikut kesesuaian dan kemampuan manusia. Allah yang mencipta manusia, maka Dialah yang sangat mengetahui mengenai kekuatan dan kelemahan hamba-Nya. Dia tahu cara mana yang terbaik untuk hamba-Nya.
Setelah ramai yang memeluk Islam dan mantap aqidah, kenal Allah secara pasti, maka barulah Allah memerintahkan hamba-Nya agar melakukan ibadah. Itupun secara berperingkat juga, tidak diturunkan semua hukum-hakam Islam pada satu waktu sekaligus. Terlalu berat dan sukar untuk menerima hukum-hakam itu dan melaksanakannya dalam tempoh masa yang sangat singkat. Pasti tidak mampu, sebagaimana janji Allah bahawasanya Dia tidak akan membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh hamba-Nya.

Sekarang cuba kita lihat pada dalil akal, sains atau rasional pula. Perhatikan pada pembesaran manusia, tiada bayi yang bertukar menjadi bapa atau remaja pada esoknya. Ia tidak akan menjadi remaja, bapa atau datuk melainkan setelah ia melalui banyak peringkat dalam hidupnya. Kenapa? Kerana ia tidak mampu dari pelbagai sudut. Dari sudut sumber pembesaran, ia memerlukan pelbagai pemakanan dan nutrisi. Mustahil pada akal jika bayi menjadi dewasa hanya dengan menghisap susu. Begitulah juga dengan haiwan lain atau tumbuhan. Allah ciptakan segalanya penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan, atau seperti kata-kata profesor saya, "the wisdom of Allah..".
Mungkin timbul satu persoalan, bolehkah kita menerima hujah akal? Sudah tentu boleh. Selagi mana akal itu berpandukan Islam, tentu tidak akan berlaku pertentangan antara sains dan Islam, kerana fakta sains yang benar-benar sahih pasti akan selari dengan Islam. Sepertimana kata Asy-Syahid Hassan Al-Banna;
"Pandangan syar'i dan pandangan logik memiliki wilayahnya masing-masing yang tidak dapat saling memasuki secara sempurna. Namun demikian, keduanya tidak pernah berbeza dalam masalah yang qath'i (mutlak). Hakikat ilmiah yang benar tidak mungkin bertentangan dengan kaidah-kaidah syariat yang tsabitah (jelas). Sesuatu yang zhanni (interpretable) perlu ditafsirkan agar sesuai dengan yang qath'i. Jika yang berhadapan adalah dua hal yang sama-sama zhanni, maka pandangan yang syar'i lebih utama untuk diikuti sehinggalah pandangan akal mendapatkan pengesahan kebenarannya, atau gugur sama sekali."
Dengan penjelasan di atas maka jelaslah bahawa tadarrujisme adalah sesuatu yang penting dan perlu diamalkan agar sesuai dengan kemampuan, atau jika tidak, pasti berlaku pemberontakan dan kucar-kacir dalam pelaksanaan sesuatu perkara terutamanya pelaksanaan Islam itu sendiri.
Malangnya, ramai yang tidak memahami konsep ini lalu mengabaikan perkara ini yang akhirnya menimbulkan masalah lalu mencemarkan Islam itu sendiri. Di sini saya bawakan dua isu penting dalam memahami konsep ini.
Isu pertama ialah dakwah. Ya, semua orang tahu dakwah itu tanggungjawab bersama. Perkara yang pasti muncul dan timbul ialah da'i (pendakwah) dan mad'u (sasaran). Cuba bayangkan, kita sebagai da'i, ada mad'u yang ingin kita seru dan bimbing. Anggaplah mad'u itu mempunyai 100 tabiat yang buruk yang perlu kita ubah. Adakah kita akan mengubah kesemua tabiat buruk itu hanya dengan sekali seruan atau sekali ajakan? Terlalu mudah soalan ini. Saya pasti anda mampu menjawabnya. Pasti kita tidak terus mengubah, sebaliknya, kita mula berkenalan, berkawan, memahami situasi, jaga hatinya dan seterusnya... Apa yang sangat malang ialah apabila munculnya golongan yang juga mengaku sebagai pendakwah lalu mengkritik pendakwah yang cuba bertadarruj. Ia mengatakan
"Kenapa tidak ditegur itu dan ini? Bukankah itu semua adalah kesalahan???".
Alangkah jahilnya....

Isu kedua ialah pelaksanaan Islam khususnya di Malaysia. Kini banyak pihak melihat seolah-olah kemenangan sudah berada pada Pakatan Rakyat. Saya mendoakan dan berharap agar kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang berpihak kepada Pakatan Rakyat umumnya, Islam khususnya. Berdasarkan pengalaman dan sejarah lalu, apabila kemenangan sudah berpihak pada pembangkang, maka pecahlah kesatuan pembangkang sebelum ini yang ada untuk menggulingkan pemerintahan sedia ada. Mungkin disebabkan kerana wujudnya niat atau kepentingan lain yang ingin diperjuangkan setelah berjaya mendapat kuasa. Bagaimana ingin menyelesaikannya?? Mudah.. Pastikan perjuangan itu adalah untuk Islam, bukan kerana lainnya, nescaya kita akan bersatu atas nama Islam tidak kira ketika menjadi pembangkang atau kerajaan. Saya seolah-olah yakin bahawa akan muncul golongan yang syadid dan extreme yang akan mempertikaikan tadarrujisme yang akan diamalkan dalam melaksanakan perundangan Islam.
"dulu dok bising sangat pasai hudud!! lani dah menang awat x buat??? mana hudud yang hangpa dok nak sangat tu???"
Apa-apapun, saya berdoa agar tidak muncul golongan ini kerana merekalah pencemar kesempurnaan, kemuliaan, kesucian dan kehebatan Islam di mata masyarakat terutamanya masyarakat bukan Islam...
Walaubagaimanapun, tadarruj merupakan ciri-ciri Islam yang umum. Ini bererti tidak semua perkara wajib mengalami taddaruj, ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibuat secara lengkap semuanya...
AMALKAN ISLAM YANG SYUMUL!!!!
.