SEBAB TU JA TAK LEH BUAT??






Baru-baru ini isu hukum hudud bergema lagi, ceritanya hampir serupa setiap kali isu ini dibincangkan. Pasti akan ada yang mencadangkan hudud dilaksanakan, dan pasti akan ada suara sumbang yang membantahnya.

Alasan-alasan yang diberikan untuk menolak pelaksanaan hudud hanyalah hujah-hujah lapuk yang tidak bermakna sama sekali. Hanya mereka yang tertipu dan jahil sahaja yang akan menolak hukum Tuhan ini.

" Hudud kejam! Tidak berkeprimanusiaan! Ketinggalan zaman! Tidak sesuai untuk masyarakat majmuk. Bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. "

Inilah antara hujah-hujah palsu yang cuba dikemukakan oleh mereka yang jahil tentang hukum Islam, atau mungkin juga kerana ia sememangnya sangat memusuhi Islam.

Hampir kesemua hujah-hujah tersebut adalah tidak relevan dan terlalu prejudis terhadap Islam serta terlalu subjektif. Hanya satu hujah yang kelihatan agak 'ilmiah' atau 'akademik', iaitulah hujah yang mengatakan bahawa hudud bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Tetapi, hujah ini sangat mudah untuk dinilai dan ditolak oleh mereka yang benar-benar memahami perundangan Islam dan benar-benar menginginkan keadilan yang sejati dan hakiki. Ingin saya bawakan dua hujah utama yang sudah cukup untuk menolak dakwaan di atas.

Hujah pertama ialah hujah asas yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang dikenali juga sebagai dalil naqli. Hujah ini sepatutnya diterima dan diperjuangkan oleh semua yang mengaku Islam. Berdasarkan pengamatan yang mendalam terhadap dua rujukan utama dalam Islam, maka kita akan dapati bahawa Allah telah menetapkan hukum-hukum yang khusus atau umum bagi urusan kehidupan kita, ia dikenali sebagai syariat Allah, peraturan Allah, undang-undang Allah.

Kita sebagai hambaNya, tidak dapat tidak wajiblah ke atas kita untuk menuruti peraturan tersebut. Bahkan perkara ini sepatutnya diakui juga oleh semua manusia kerana Allah adalah Pencipta dan Tuhan bagi seluruh manusia dan alam ini. Barangsiapa yang mengiktiraf adanya hukum lain yang perlu diikuti selain hukum Allah, maka berhati-hatilah ia terhadap iman dan aqidahnya.

Hujah kedua ialah, hujah akal atau dalil 'aqli yang mampu difikirkan oleh kebanyakan manusia. Apabila kita berbincang tentang undang-undang, adakah kita pernah berfikir tentang tujuan dan objektif sebenar sesuatu undang-undang diperkenalkan? Tidakkah kita tahu bahawa undang-undang diperlukan bagi menegakkan keadilan dan memelihara kesejahteraan hidup manusia sama ada berkaitan agama, nyawa, akal, institusi kekeluargaan atau harta serta maruah manusia, tidak dilupakan juga penjagaan alam sekitar dan makhluk lain.

Oleh itu, apabila kita melihat betapa rosaknya manusia masa kini, meningkatnya gejala sosial, pencabulan, korupsi dan lain-lain lagi, maka adakah kita tidak terfikir sama ada undang-undang sedia ada masih relevan dan bersesuaian dengan tujuan sebenar undang-undang diwujudkan? Tidak ragu lagi bahawa ia sudah tidak sesuai dan mesti diubah.

Kini segalanya jelas, sudah terbukti bahawa pelaksanaan undang-undang ciptaan manusia tidak mampu mewujudkan satu keadaan yang penuh dengan keadilan dan kesejahteraan. Dunia kini menyaksikan kegagalan sistem ciptaan manusia satu persatu. Bermula dari sistem pendidikan yang bersifat materialistik, sistem ekonomi yang menindas, sistem sosial yang merosakkan sehinggalah kepada sistem pemerintahan yang meruntuhkan ketamadunan manusia.

Akal manusia sangat terbatas, kita perlu akur dengan kelemahannya. Kita tidak mampu menilai hukum Allah dengan akal semata-mata. Manusia mencipta undang-undang kononnya mereka tahu dan faham segalanya tentang manusia. Cubalah kita perhatikan dalam dunia sains, terlalu banyak perkara yang masih tersembunyi daripada pengetahuan manusia, sedangkan kajian sains itu boleh dilihat secara zahir.

Bandingkan pula pada diri manusia yang terlalu kompleks, terdiri daripada pelbagai unsur yang tidak mampu dilihat dan bersifat ghaib, adakah kita menyangka kita telah memahami segalanya dan kita cuba mencipta peraturan untuk mengawal manusia tanpa bantuan Pencipta manusia itu sendiri? Sesungguhnya Dialah yang mencipta manusia seluruhnya dan Dia jugalah yang memahami serta mengetahui apa yang sepatutnya untuk manusia.


Sangat tertipulah mereka yang mempertikaikan dan mengatakan hudud tertolak kerana bertentangan dengan perlembagaan. Bahkan, perlembagaanlah yang sepatutnya dipertikaikan, adakah ia bersesuaian dengan perintah Allah? Adakah ia relevan sebagai undang-undang?


" INIL HUKMU ILLA LILLAH... "





.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...