Bismillahirrahmanirrahim. Kali ini saya ingin menyatakan pendapat saya berkenaan satu isu berkaitan pelajar perubatan di Mesir ini. Bagi pembaca di luar Mesir, anda boleh saja mengikuti perkembangan politik pelajar perubatan di sini, agak menarik untuk dibincangkan.
Memandangkan usul agar ditubuhkan PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) belum diputuskan secara mutlak dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT), maka saya ingin mengambil kesempatan untuk melontarkan sedikit pandangan berkaitan hal ini. Namun, jika syura dan majoriti menginginkan pendapat yang sebaliknya, maka saya terima dengan berlapang dada, insyaAllah.
Realitinya, terdapat pelbagai masalah yang timbul dalam kalangan pelajar perubatan di Mesir ini. Sama ada masalah pelajar sendiri atau masalah sistem yang melibatkan persatuan. Namun saya ingin memfokuskan kepada masalah berkaitan sistem. Sila baca dengan teliti dan nilailah dengan akal yang berpandukan wahyu, bukan hawa nafsu atau kepentingan peribadi.
Taburan pelajar perubatan di Mesir adalah berbeza, ada yang tinggal di Kaherah, Mansurah, Tanta, Zaqaziq dan Iskandariah. Kawasan selain Kaherah mempunyai cawangan, manakala tiga universiti yang berada di Kaherah bernaung terus bawah PERUBATAN induk atau pusat, iaitu Universiti Ain Shams, Universiti Al-Azhar dan Universiti Kaherah. Manakala cawangan-cawangan lain hanya mempunyai satu universiti.
Realiti seterusnya ialah, AJKT PERUBATAN hanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang tinggal di Kaherah, dan kebanyakannya pula datang daripada Universiti Kaherah. Ini menyebabkan PERUBATAN induk banyak tertumpu kepada pelajar yang tinggal di Kaherah sahaja, dan lebih malang lagi apabila penumpuan di Kaherah itu ditumpukan pula pada Universiti Kaherah (UK), dalam erti kata lain, tahap ketersampaian maklumat di Universiti Al-Azhar (UAA) dan Universiti Ain Shams (UAS) adalah rendah.
Hasil daripada sistem ini, pelbagai masalah timbul dan adakalanya melahirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar perubatan. Antara masalah utama yang timbul hasil daripada sistem ini ialah;
1. Pengabaian terhadap PERUBATAN cawangan.
2. AJKT induk terlalu fokus kepada Kaherah khususnya UK.
3. Terpaksa menanggung bebanan kerana terpaksa menguruskan tiga buah universiti di Kaherah.
4. Tahap ketersampaian maklumat kepada UAS dan UAA yang rendah.
Saya kurang bersetuju dengan usul agar ditubuhkan PCK kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah secara berkesan dan ia tidak diperlukan buat masa ini. Saya akan nyatakan beberapa hujah dan cadangan dalam menyelesaikan masalah ini. Namun, ini adalah pendapat saya sekiranya keadaan dan realiti adalah seperti sekarang dan bilangan universiti adalah kekal khususnya di Kaherah. Jika terdapat perubahan, mungkin pendapat saya juga berubah.
Sebelum saya menyatakan hujah dan menjawab hujah-hujah lain, ingin saya sebutkan beberapa 'hujah' yang bukan hujah, tapi fallasi.
1. Ada yang menyokong usul ini hanya kerana ia disokong oleh AJKT atau bekas AJKT atau orang lama. Ini bukanlah satu hujah. Hujah dinilai pada hujahnya, bukan orangnya. Kecuali kalam Allah dan Rasul-Nya.
2. Ada yang merasakan bahawa usul ini perlu disokong kerana merasakan bahawa orang lama lebih tahu dan faham selok-belok politik di sini serta sudah merasai bebanan tugas. Ini juga 'hujah' yang tertolak kerana sistem politik di sini boleh ditentukan dan dikawal, bahkan tidak salah jika kata saya katakan bahawa bebanan dan masalah yang ditanggung selama ini adalah hasil sistem yang disusun sebelum ini, dan hal ini diakui sendiri oleh saudara Presiden PERUBATAN.
3. Mungkin ada juga yang mengatakan bahawa orang yang tidak menyokong PCK ialah orang baru, bukan orang lama atau berpengalaman. Wah! Adakah ini hujah yang paling mantap? Bagaimana seseorang itu dikatakan bekerja atau berpengalaman? Adakah apabila ada orang yang melihat kerjanya barulah dia dikatakan bekerja? Jika fallasi ini benar bagi anda, maka antara orang yang berhujah daripada UAA dan tidak menyokong usul ini ialah Saudara Hafiz dan Saudara Marwan. Meraka juga adalah indvidu yang berpengalaman dalam UAA. Adakah mereka yang belajar di univerisiti lain lebih memahami dan berpengalaman terhadap apa yang berlaku di UAA?
Saya tidak bersetuju dengan usul agar ditubuhkan PCK, sebagai alternatifnya, saya mencadangkan agar dibentuk cawangan berdasarkan universiti, bukan kawasan. Ini akan menjadikan semua universiti berada pada tahap yang sama tanpa ada pemfokusan terlampau atau pengabaian terlajak.
Dalam Mesyuarat Tahunan Kaherah kali pertama (MTK), semua bersetuju agar ditubuhkan organisasi kecil di setiap universiti di Kaherah, namun, sesebuah universiti adalah besar dan bilangan pelajar akan bertambah selepas ini. Sebagai contoh di UAA, pelajar lelaki dan perempuan diasingkan, setiap 'batch' yang ada melebihi 100 orang, itu baru pelajar aliran 'perubatan', belum ditambah dengan pelajar aliran 'pergigian' yang juga satu 'batch'. Setakat ini sudah sampai tahun ketiga, bagaimana jika 'perubatan' UAA sudah lengkap keenam-enam tahun dan ditambah dengan 'pergigian'? Pendek kata, ia sangat besar dan membentuk komuniti yang besar.
Dari segi bebanan, dikatakan bahawa AJKT induk terpaksa melakukan tugasan seperti cawangan lain. Ya, memang berat. Jika diwujudkan satu cawangan untuk semua univerisiti di Kaherah, kemudian diserahkan tugasan kepada cawangan itu, memang akan berkurang bebanan AJKT. Tapi, jika anda benar-benar ingin membantu dan meringankan bebanan AJKT, sila bandingkan dua keadaan ini. Tugas di Kaherah dibahagikan kepada satu cawangan, atau, tugas di Kaherah dibahagikan kepada tiga cawangan. Mana yang lebih membantu dan meringankan? Sila jawab dengan jujur. Jangan hairan sekiranya bebanan dan masalah sebelum ini akan berulang kembali.
Bagi saya, organisasi kecil yang ingin ditubuhkan itu sebenarnya adalah PERUBATAN cawangan. Walaupun ketiga-tiga universiti di Kaherah berada dalam kawasan yang agak berhampiran, namun perlu kita akui bahawa kita di sini tidak mentadbir berdasarkan setiap inci tanah sepertimana sesebuah kerajaan mentadbir negaranya, kita mentadbir berdasarkan sistem universiti. Jika ingin tahu bagaimana, cuba tinggal serumah dengan pelajar universiti lain dan rasai perbezaanya.
Antara sebab utama saya tidak bersetuju dengan PCK ialah ia tidak dapat menyelesaikan masalah yang berlaku sebelum ini secara efektif, khususnya berkaitan maklumat, informasi dan data. Hal ini tidak akan dapat diselesaikan dengan berkesan jika tiada pemfokusan yang mana pemfokusan itu akan menampakkan kepentingan sesuatu perkara. Jika tidak, ia hanya akan tertulis dan tersimpan dalam kertas semata-mata.
Mungkin ada yang merasakan bahawa dengan tertubuhnya PCK, kita akan dapat mengambil berat cawangan PERUBATAN yang berada di luar Kaherah, mungkin ia mengatakan bahawa di mana letaknya cawangan-cawangan lain? Adakah kita tidak hiraukan mereka? Bukankah dengan PCK kita dapat memberikan perhatian kepada cawangan lain? Mungkin dia terlupa. Mungkin dia tersilap. Adakah dia lupa untuk bertanyakan juga di mana Al-Azhar? Di mana 'Ain Shams?
Penubuhan cawangan berdasarkan universiti adalah penting kerana ia meletakkan semua universiti di tahap yang sama tanpa didominasi oleh mana-mana universiti atau kawasan. Masalah pemfokusan juga boleh diselesaikan dengan adanya AJKT daripada pelbagai universiti walaupun hanya sepasang. Bukanlah saya mempertikaikan kewibawaan wakil daripada Kaherah, tapi saya yakin bahawa di setiap universiti luar Kaherah juga mempunyai wakil yang memiliki kebolehan dan kepimpinan yang hebat, bahkan mungkin melebihi wakil daripada Kaherah sendiri.
Bagaimanapun, bukanlah niat saya untuk memperkecilkan jasa atau sumbangan UK, saya akui jasa mereka selama ini dan berterima kasih untuk itu, namun bagi saya keadilan itu lebih utama untuk dijaga berbanding perasaan sesama kita. Mungkin kita perlu korbankan sedikit hati ini demi keadilan untuk semua. Janganlah sampai wujud ketuanan universiti tertentu atau kawasan tertentu dalam kalangan kita, atau kita ingin menjadi seperti sesetengah golongan di Malaysia yang memperjuangkan ketuanan Melayu hanya kerana sejarah negara kita. Islam untuk semua, jika PERUBATAN adalah untuk Islam, maka PERUBATAN juga mesti untuk semua.
Ambillah pengajaran daripada apa yang pernah berlaku kepada sebuah persatuan besar di sini yang mana pernah mengalami sejarah hitam sehingga terpaksa dibubarkan dan berhenti untuk tempoh masa yang agak lama. Kenapa ia berlaku? Kerana berlaku pendominasian oleh pihak tertentu dalam persatuan tersebut. Adakah kita juga ingin melihat perkara yang sama berlaku kepada PERUBATAN? Ambillah pengajaran, sedarlah sebelum terlambat, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Sekiranya anda merasakan bahawa kesatuan antara universiti-universiti di Kaherah akan rosak hanya kerana berbeza cawangan, adakah anda yang di Kaherah ini tidak bersatu dengan cawangan Iskandariah? Adakah Cawangan Mansurah berpecah-belah dengan Tanta? Bagaimana pula dengan Cawangan Zaqaziq yang ingin bersama kita? Sudahlah, kesatuan kita adalah dalam hati kita selama mana kita bernaung bawah PERUBATAN.
Jika anda merasakan perpecahan akan berlaku hanya kerana berbeza cawangan, maka jelaslah bahawa kesatuan dan perpaduan bagi kamu hanyalah atas kertas dan di carta organisasi, tidak hairanlah jika pemikiran sebegini telah menyebabkan ada dalam kalangan kita yang terabai selama ini, kerana baginya, carta organisasi adalah segala-galanya. Adakah kita berasa susah untuk duduk bersama dan berbincang mengenai masalah atau program hanya kerana kita berbeza dalam carta organisasi? Sedangkan kita sudah bernaung bawah PERUBATAN.
Lihat bagaimana Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Pulau Pinang dan BKAN Wilayah Persekutuan, dari segi kawasan, mereka adalah saling berhadapan, tapi mereka tetap dua organisasi yang berbeza kerana untuk melancarkan sistem dan keadilan. Walaupun begitu, itu tidak menghalang mereka untuk bersatu dan saling menolong. Ketika BKAN WP menghadapi masalah, tidak cukup musyrif, BKAN PP yang berbeza organisasi tapi sama induk tiada masalah untuk membantu. Bahkan diwujudkan pula Musyrif Taakhi. Alangkah sedih jika kita tidak dapat mencontohi BKAN-BKAN dalam hal ini. Kita juga boleh wujudkan taakhi sesama universiti atau individu. Perbezaan universiti sesama kita bukanlah alasan untuk berpecah, tapi untuk saling mengenali.
Sekiranya realiti kekal seperti sekarang, maka kesimpulan bagi cadangan saya ialah;
1. Wujudkan cawangan PERUBATAN berdasarkan sistem universiti.
2. Sediakan kuota wajib/khusus bagi wakil daripada setiap muhafazah/universiti sekurang-kurangnya sepasang untuk kerusi AJKT.
3. Wujudkan taakhi sesama universiti atau kawasan atau individu.
Sekiranya realiti kekal seperti sekarang, maka kesimpulan bagi cadangan saya ialah;
1. Wujudkan cawangan PERUBATAN berdasarkan sistem universiti.
2. Sediakan kuota wajib/khusus bagi wakil daripada setiap muhafazah/universiti sekurang-kurangnya sepasang untuk kerusi AJKT.
3. Wujudkan taakhi sesama universiti atau kawasan atau individu.
Akhir kata, fikirlah dengan akal, berhujahlah dengan akal, ketepikan emosi dan kepentingan diri atau kumpulan tertentu. Biar kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, susah senang hadapi bersama, tiada siapa cuba mengatasi atau membatasi, melainkan beza taqwa kita kepada-Nya.
PERUBATAN untuk Iskandariah, untuk Al-Azhar, untuk Ain Shams, untuk Mansurah, untuk Kaherah, untuk Tanta, untuk Zaqaziq, PERUBATAN untuk semua... ISLAM UNTUK SEMUA...
Wallahu'alam.
MENUJU KE ARAH PERUBATAN YANG LEBIH ADIL DAN BERSISTEMATIK
.





7 comments:
try involve dgn lbh byk program PERUBATAN.. insyaAllah akan nmpk relevannya.
pd mulanya saya pun x bersetuju dgn PCK stlh mesyuarat dah setuju dgn penubuhan organisasi kecil. Tp, antara organisasi ni siapa plak yg akan selaraskan?
kedua. kewujudan PCK akan membenarkan lbh ramai orang terlibat dlm PERUBATAN.
benda yg kita dah persetujui secara syura, x perlulah dibawa bercakap lg kat luar. insyaAllah keputusan syura tu yg terbaik. berlapang dada dan doakanlah.
saya rasa MTK tu hanya menunjukkan persetujuan untuk membawa perkara ini ke dalam MAT, ataupun, ia memang telah diputuskan secara mutlak untuk dilaksanakan?
benar, saya kurang berpengalaman dalam hal ini dan masih baru...
telah saya nyatakan;
"Memandangkan usul agar ditubuhkan PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) belum diputuskan secara mutlak dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT), maka saya ingin mengambil kesempatan untuk melontarkan sedikit pandangan berkaitan hal ini. Namun, jika syura dan majoriti menginginkan pendapat yang sebaliknya, maka saya terima dengan berlapang dada, insyaAllah."
wallahu'alam... syukran...
cubalah nanti bawakan usul penubuhan cawangan mengikut universiti.
salam nasiruddin, mungkin boleh bg email enta, boleh kita sama-sama bincang, dan keluarkan yang benar,
insyallah kedua-dua pihak minda terbuka, tiada masalah, saya nak cuba faham apa yang enta mahu, dan mungkin enta boleh cuba faham apa yang saya cuba sampaikan, ni email saya: nasrullah_abdulkadir@yahoo.com.my harap benda ni dapat penyelesaian yang terbaik sebelum MAT akan datang.
>hamra
bukankah induk yang berperanan untuk menyelaraskan setiap cawangan?
kurg jelas dgn "kedua"
>ami farhana mna
emm.. tgklah dlu, mgkin saya akan pertimbangkan kemudian. btw, syukran atas cadangan tu. jika sy ada tersilap atau tersasar dlm tulisan sy, jgn malu2 utk tegur. "saling berpesan pd kebenaran..."
>nasrullah abdulkadir
wsalam nasrullah. alhamdulillah, inilah sikap yg sgt dicari2 dlm kpimpinan, sntiasa terbuka dan sggup brkorban dmi kpntingan umum. sama2lah kita usahakan yg terbaik utk PERUBATAN. email ana, petro_nas[at]yahoo.com
syukran jazilan ya asdiqoi... =)
.
salam,nasiruddin.
saya menghormati pendapat nasiruddin tentang penubuhan cawangan mengikut universiti.
cuma pada masa sekarang,saya belum nampak relevan nya penubuhan mengikut universiti itu.mungkin pada masa akan datang,siapa tahu?
dalam mtk hari tu,saya nampak penubuhan PCK adalah salah satu jalan,untuk melancarkan gerak krja PERUBATAN.
Tak terlintas dalam hati nak mengajak sahabat2 menyokong kerana saya sebgai orang lama.
Saya tahu,ada insan-insan UAA dan ASU yang komited dalam PERUBATAN,dan nampak apa yang ingin dibawa dalam PERUBATAN.Saya tidak menafikan kesungguhan kalian.
Perkara ini perlu dibincang panjang.Ia melibatkan survival PERUBATAN.
Maaf,salah silap.
Lyanna Khairunnisya Yahya
Tahun 5
Cairo University.
lyanna_lky@yahoo.com
wsalam kak lyanna. syukran sudi baca blog ana yang tak seberapa ni. ana tiada masalah untuk dengar walau sejuta pendapat yang berbeza dengan ana. biasalah, semua manusia berfikir, kadang-kadang berbeza hasilnya. mungkin ada yang benar, mungkin ada yang salah. mungkin juga kesemuanya benar atau kesemuanya salah. hanya Allah yang tahu. syukran kaman, asif lau fi ayyi musykilah walla masyakil...
Post a Comment