
LOS ANGELES: Jika dulu perceraian sering berlaku akibat kesan gincu di baju suami atau pesanan ringkas dalam telefon bimbit, kajian terbaru menunjukkan masalah itu kini disumbangkan oleh laman sesawang sosial seperti Facebook.
Berdasarkan kajian Akademi Peguam Perkahwinan Amerika itu, satu daripada lima perceraian di negara berkenaan membabitkan laman sesawang sosial.
Kira-kira 80 peratus peguam juga melaporkan jumlah ketara individu menggunakan media sosial sebagai bukti kecurangan pasangan masing-masing.
Antara bahan digunakan adalah mesej dan gambar menggoda di Facebook.
Kewujudan laman sesawang itu didapati membolehkan seseorang berhubung semula dengan bekas kekasih masing-masing selepas terpisah sekian lama.
Kajian itu menunjukkan, Facebook adalah penyumbang terbesar masalah rumah tangga dengan 66 peratus peguam mendakwa ia dikemukakan sebagai bukti tuntutan perceraian.
Penyumbang kedua terbesar adalah laman sesawang MySpace (15 peratus) dan diikuti Twitter (5 peratus).
Selebihnya adalah laman sesawang sosial lain.
Tahun lalu, sebuah firma guaman Britain mendakwa, 20 peratus petisyen perceraian di negara itu mengaitkan Facebook sebagai punca.
Pengarah Urusan Divorce-Online, Mark Keenan, berkata kebanyakan pengguna laman sesawang sosial menggunakan kemudahan itu untuk berbual mengenai seks dengan seseorang yang tidak sepatutnya.
Laman sesawang Friends Reunited yang dilancarkan untuk menghubungkan kenalan lama di zaman persekolahan pada 1999 turut memberi kesan terhadap rumah tangga ahlinya.
Baru-baru ini, bintang siri, Desperate Housewives, Eva Longoria, mengambil keputusan berpisah daripada pasangannya, Tony Parker, selepas pemain bola keranjang itu didakwa sering berhubungan dengan wanita lain melalui Facebook. - Agensi
SUMBER : METRO
Sama-sama kita fikirkan, sebelum ini pernah juga saya tulis tentang ini. LINK.
Sebahagian orang menggunakan Facebook dengan alasan bahawa terlalu ramai orang menggunakan Facebook, dengan sebab itu dia boleh menggunakan Facebook sebagai medium dakwah. Sejauh manakah kebenaran perkara ini? Mungkinkah mereka akan kecundang?
Memang wujud golongan yang kecundang, mungkin mereka ada alasan yang seterusnya, iaitu ;
"Apa-apa yang tidak dapat dilakukan kesemuanya, janganlah pula ditinggalkan kesemuanya".
Maksudnya, walaupun mereka tidak dapat melakukan tugas dakwah sepenuhnya disebabkan kecundangan yang berlaku, sekurang-kurangnya mereka masih dapat meletakkan beberapa 'quote' nasihat pada statusnya.
Mungkin juga dengan alasan untuk menyebarkan maklumat, untuk mencari kawan-kawan lama. Bak kata orang, "berukhuwwah", berukhuwwah di Facebook.
Akhirnya, cuba fikirkan, adakah itu semua lebih utama berbanding menjaga institusi rumah tangga dan pergaulan islamiyyah? Bukankah apabila bertembung antara kebaikan yang kecil dengan keburukan yang besar, diutamakan mengelakkan keburukan tersebut walaupun terpaksa meninggalkan kebaikan yang kecil tersebut?
Kaedah fiqh Al-Muwazanat:
Apabila bertembung antara maslahah (kebaikan) yang kecil dengan mafsadah (keburukan) yang besar dalam sesuatu perkara, maka diutamakan untuk mengelakkan mafsadah yang besar tersebut, sekalipun terpaksa meninggalkan maslahah yang kecil tersebut.
Arak ada kebaikannya, tetapi disebabkan keburukannya yang lebih besar, maka ia diharamkan.
"Mereka bertanyakan kamu tentang arak dan judi. Katakanlah bahawa pada kedua-duanya ada dosa yang besar dan beberapa manfaat untuk manusia. Tetapi, dosa kedua-duanya adalah lebih besar berbanding manfaat kedua-duanya."
(Al-Baqarah : 219)
Apa-apapun, perkara ini bukanlah terletak pada nama "Facebook", "Blogger", "Yahoo Messenger", "Myspace" atau lain-lain. Tetapi ia terletak pada salah laku yang berlaku seperti;
1. Pergaulan bebas
2. Mengumpat
3. Curang
4. Pendedahan aurat
5. Membocorkan rahsia
6. Menyebarkan fitnah
7. Dan lain-lain...
Tepuk tangan buangkan kuman,
Tepuk dada tanyakan iman... ^_^
BACA JUGA, LINK.
.




3 comments:
semuanya bergantung kepada niat dan cara menggunakannya...bukan nak bela diri sebab ana sendiri guna facebook...tapi memang bergantung kepada cara penggunaan sebenarnya...jadilah orang yang 'bertaqwa' dalam penggunaan alam siber sebagai sebuah medium dakwah
Assalamualaikum wbt
Bergantung atas niat dan penggunaan seseorang terhadap sesuatu benda menentukan baik dan buruknya. Apa saja yg ada di dunia ini hatta Nabi Allah Sulaiman a.s. pun menggunakan khidmat jin utk menjalankan urusannya asalkan ada ilmu dan kekuatan. Bukankah perintah Allah SWT dlm Surah AlFussilat:53 سَنُرِيهِمۡ ءَايَـٰتِنَا فِى ٱلۡأَفَاقِ وَفِىٓ أَنفُسِہِمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّۗ "Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar"
Bukankah kita dpt dpt melihat sesuatu ufuk/penjuru dunia melalui internet w/pun dialam maya? Apa yg penting adalah diri2 kita samada mahu menerima kebaikan atau keburukan kerana masalah kepincangan dunia adalah disebabkan pemikiran dan tangan2 yg kotor. Surah ArRom:41 ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia".
Sebagai seorang Islam, memperkenalkan seseorang adalah dituntut tetapi atas dasar taqwa dan RAHIM Allah SWT dlm Surah AnNisa:1. Wallahualam
Wa'alaikumussalam w.b.t.
syukran lakuma wa sodaqtuma...
hidup kita dr lahir smpai mati mestilah dlm keadaan beribadah kpd Allah. namun, dua syarat utama utk diterima ssuatu ibadah ialah NIAT yg ikhlas dan CARA yg betul.
jd, apa sja yg ingin kita lakukan, pastikan menepati kdua2nya.
sama la jugak mcm artikel ni. kalau dipandang negatif, tentulah negatif hasilnya, dn bgitulah jga sbaliknya..
wallahu'alam.
Post a Comment