PERUBATAN CAWANGAN KAHERAH



Bismillahirrahmanirrahim. Kali ini saya ingin menyatakan pendapat saya berkenaan satu isu berkaitan pelajar perubatan di Mesir ini. Bagi pembaca di luar Mesir, anda boleh saja mengikuti perkembangan politik pelajar perubatan di sini, agak menarik untuk dibincangkan.

Memandangkan usul agar ditubuhkan PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) belum diputuskan secara mutlak dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT), maka saya ingin mengambil kesempatan untuk melontarkan sedikit pandangan berkaitan hal ini. Namun, jika syura dan majoriti menginginkan pendapat yang sebaliknya, maka saya terima dengan berlapang dada, insyaAllah.

Realitinya, terdapat pelbagai masalah yang timbul dalam kalangan pelajar perubatan di Mesir ini. Sama ada masalah pelajar sendiri atau masalah sistem yang melibatkan persatuan. Namun saya ingin memfokuskan kepada masalah berkaitan sistem. Sila baca dengan teliti dan nilailah dengan akal yang berpandukan wahyu, bukan hawa nafsu atau kepentingan peribadi.

Taburan pelajar perubatan di Mesir adalah berbeza, ada yang tinggal di Kaherah, Mansurah, Tanta, Zaqaziq dan Iskandariah. Kawasan selain Kaherah mempunyai cawangan, manakala tiga universiti yang berada di Kaherah bernaung terus bawah PERUBATAN induk atau pusat, iaitu Universiti Ain Shams, Universiti Al-Azhar dan Universiti Kaherah. Manakala cawangan-cawangan lain hanya mempunyai satu universiti.

Realiti seterusnya ialah, AJKT PERUBATAN hanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang tinggal di Kaherah, dan kebanyakannya pula datang daripada Universiti Kaherah. Ini menyebabkan PERUBATAN induk banyak tertumpu kepada pelajar yang tinggal di Kaherah sahaja, dan lebih malang lagi apabila penumpuan di Kaherah itu ditumpukan pula pada Universiti Kaherah (UK), dalam erti kata lain, tahap ketersampaian maklumat di Universiti Al-Azhar (UAA) dan Universiti Ain Shams (UAS) adalah rendah.

Hasil daripada sistem ini, pelbagai masalah timbul dan adakalanya melahirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar perubatan. Antara masalah utama yang timbul hasil daripada sistem ini ialah;

1. Pengabaian terhadap PERUBATAN cawangan.

2. AJKT induk terlalu fokus kepada Kaherah khususnya UK.

3. Terpaksa menanggung bebanan kerana terpaksa menguruskan tiga buah universiti di Kaherah.

4. Tahap ketersampaian maklumat kepada UAS dan UAA yang rendah.

Saya kurang bersetuju dengan usul agar ditubuhkan PCK kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah secara berkesan dan ia tidak diperlukan buat masa ini. Saya akan nyatakan beberapa hujah dan cadangan dalam menyelesaikan masalah ini. Namun, ini adalah pendapat saya sekiranya keadaan dan realiti adalah seperti sekarang dan bilangan universiti adalah kekal khususnya di Kaherah. Jika terdapat perubahan, mungkin pendapat saya juga berubah.

Sebelum saya menyatakan hujah dan menjawab hujah-hujah lain, ingin saya sebutkan beberapa 'hujah' yang bukan hujah, tapi fallasi.

1. Ada yang menyokong usul ini hanya kerana ia disokong oleh AJKT atau bekas AJKT atau orang lama. Ini bukanlah satu hujah. Hujah dinilai pada hujahnya, bukan orangnya. Kecuali kalam Allah dan Rasul-Nya.

2. Ada yang merasakan bahawa usul ini perlu disokong kerana merasakan bahawa orang lama lebih tahu dan faham selok-belok politik di sini serta sudah merasai bebanan tugas. Ini juga 'hujah' yang tertolak kerana sistem politik di sini boleh ditentukan dan dikawal, bahkan tidak salah jika kata saya katakan bahawa bebanan dan masalah yang ditanggung selama ini adalah hasil sistem yang disusun sebelum ini, dan hal ini diakui sendiri oleh saudara Presiden PERUBATAN.

3. Mungkin ada juga yang mengatakan bahawa orang yang tidak menyokong PCK ialah orang baru, bukan orang lama atau berpengalaman. Wah! Adakah ini hujah yang paling mantap? Bagaimana seseorang itu dikatakan bekerja atau berpengalaman? Adakah apabila ada orang yang melihat kerjanya barulah dia dikatakan bekerja? Jika fallasi ini benar bagi anda, maka antara orang yang berhujah daripada UAA dan tidak menyokong usul ini ialah Saudara Hafiz dan Saudara Marwan. Meraka juga adalah indvidu yang berpengalaman dalam UAA. Adakah mereka yang belajar di univerisiti lain lebih memahami  dan berpengalaman terhadap apa yang berlaku di UAA?

Saya tidak bersetuju dengan usul agar ditubuhkan PCK, sebagai alternatifnya, saya mencadangkan agar dibentuk cawangan berdasarkan universiti, bukan kawasan. Ini akan menjadikan semua universiti berada pada tahap yang sama tanpa ada pemfokusan terlampau atau pengabaian terlajak.

Dalam Mesyuarat Tahunan Kaherah kali pertama (MTK), semua bersetuju agar ditubuhkan organisasi kecil di setiap universiti di Kaherah, namun, sesebuah universiti adalah besar dan bilangan pelajar akan bertambah selepas ini. Sebagai contoh di UAA, pelajar lelaki dan perempuan diasingkan, setiap 'batch' yang ada melebihi  100 orang, itu baru pelajar aliran 'perubatan', belum ditambah dengan pelajar aliran 'pergigian' yang juga satu 'batch'. Setakat ini sudah sampai tahun ketiga, bagaimana jika 'perubatan' UAA sudah lengkap keenam-enam tahun dan ditambah dengan 'pergigian'? Pendek kata, ia sangat besar dan membentuk komuniti yang besar.

Dari segi bebanan, dikatakan bahawa AJKT induk terpaksa melakukan tugasan seperti cawangan lain. Ya, memang berat. Jika diwujudkan satu cawangan untuk semua univerisiti di Kaherah, kemudian diserahkan tugasan kepada cawangan itu, memang akan berkurang bebanan AJKT. Tapi, jika anda benar-benar ingin membantu dan meringankan bebanan AJKT, sila bandingkan dua keadaan ini. Tugas di Kaherah dibahagikan kepada satu cawangan, atau, tugas di Kaherah dibahagikan kepada tiga cawangan. Mana yang lebih membantu dan meringankan? Sila jawab dengan jujur. Jangan hairan sekiranya bebanan dan masalah sebelum ini akan berulang kembali.

Bagi saya, organisasi kecil yang ingin ditubuhkan itu sebenarnya adalah PERUBATAN cawangan. Walaupun ketiga-tiga universiti di Kaherah berada dalam kawasan yang agak berhampiran, namun perlu kita akui bahawa kita di sini tidak mentadbir berdasarkan setiap inci tanah sepertimana sesebuah kerajaan mentadbir negaranya, kita mentadbir berdasarkan sistem universiti. Jika ingin tahu bagaimana, cuba tinggal serumah dengan pelajar universiti lain dan rasai perbezaanya.

Antara sebab utama saya tidak bersetuju dengan PCK ialah ia tidak dapat menyelesaikan masalah yang berlaku sebelum ini secara efektif, khususnya berkaitan maklumat, informasi dan data. Hal ini tidak akan dapat diselesaikan dengan berkesan jika tiada pemfokusan yang mana pemfokusan itu akan menampakkan kepentingan sesuatu perkara. Jika tidak, ia hanya akan tertulis dan tersimpan dalam kertas semata-mata.

Mungkin ada yang merasakan bahawa dengan tertubuhnya PCK, kita akan dapat mengambil berat cawangan PERUBATAN yang berada di luar Kaherah, mungkin ia mengatakan bahawa di mana letaknya cawangan-cawangan lain? Adakah kita tidak hiraukan mereka? Bukankah dengan PCK kita dapat memberikan perhatian kepada cawangan lain? Mungkin dia terlupa. Mungkin dia tersilap. Adakah dia lupa untuk bertanyakan juga di mana Al-Azhar? Di mana 'Ain Shams?

Penubuhan cawangan berdasarkan universiti adalah penting kerana ia meletakkan semua universiti di tahap yang sama tanpa didominasi oleh mana-mana universiti atau kawasan. Masalah pemfokusan juga boleh diselesaikan dengan adanya AJKT daripada pelbagai universiti walaupun hanya sepasang. Bukanlah saya mempertikaikan kewibawaan wakil daripada Kaherah, tapi saya yakin bahawa di setiap universiti luar Kaherah juga mempunyai wakil yang memiliki kebolehan dan kepimpinan yang hebat, bahkan mungkin melebihi wakil daripada Kaherah sendiri.

Bagaimanapun, bukanlah niat saya untuk memperkecilkan jasa atau sumbangan UK, saya akui jasa mereka selama ini dan berterima kasih untuk itu, namun bagi saya keadilan itu lebih utama untuk dijaga berbanding perasaan sesama kita. Mungkin kita perlu korbankan sedikit hati ini demi keadilan untuk semua. Janganlah sampai wujud ketuanan universiti tertentu atau kawasan tertentu dalam kalangan kita, atau kita ingin menjadi seperti sesetengah golongan di Malaysia yang memperjuangkan ketuanan Melayu hanya kerana sejarah negara kita. Islam untuk semua, jika PERUBATAN adalah untuk Islam, maka PERUBATAN juga mesti untuk semua.

Ambillah pengajaran daripada apa yang pernah berlaku kepada sebuah persatuan besar di sini yang mana pernah mengalami sejarah hitam sehingga terpaksa dibubarkan dan berhenti untuk tempoh masa yang agak lama. Kenapa ia berlaku? Kerana berlaku pendominasian oleh pihak tertentu dalam persatuan tersebut. Adakah kita juga ingin melihat perkara yang sama berlaku kepada PERUBATAN? Ambillah pengajaran, sedarlah sebelum terlambat, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Sekiranya anda merasakan bahawa kesatuan antara universiti-universiti di Kaherah akan rosak hanya kerana berbeza cawangan, adakah anda yang di Kaherah ini tidak bersatu dengan cawangan Iskandariah? Adakah Cawangan Mansurah berpecah-belah dengan Tanta? Bagaimana pula dengan Cawangan Zaqaziq yang ingin bersama kita? Sudahlah, kesatuan kita adalah dalam hati kita selama mana kita bernaung bawah PERUBATAN.

Jika anda merasakan perpecahan akan berlaku hanya kerana berbeza cawangan, maka jelaslah bahawa kesatuan dan perpaduan bagi kamu hanyalah atas kertas dan di carta organisasi, tidak hairanlah jika pemikiran sebegini telah menyebabkan ada dalam kalangan kita yang terabai selama ini, kerana baginya, carta organisasi adalah segala-galanya. Adakah kita berasa susah untuk duduk bersama dan berbincang mengenai masalah atau program hanya kerana kita berbeza dalam carta organisasi? Sedangkan kita sudah bernaung bawah PERUBATAN.

Lihat bagaimana Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Pulau Pinang dan BKAN Wilayah Persekutuan, dari segi kawasan, mereka adalah saling berhadapan, tapi mereka tetap dua organisasi yang berbeza kerana untuk melancarkan sistem dan keadilan. Walaupun begitu, itu tidak menghalang mereka untuk bersatu dan saling menolong. Ketika BKAN WP menghadapi masalah, tidak cukup musyrif, BKAN PP yang berbeza organisasi tapi sama induk tiada masalah untuk membantu. Bahkan diwujudkan pula Musyrif Taakhi. Alangkah sedih jika kita tidak dapat mencontohi BKAN-BKAN dalam hal ini. Kita juga boleh wujudkan taakhi sesama universiti atau individu. Perbezaan universiti sesama kita bukanlah alasan untuk berpecah, tapi untuk saling mengenali.

Sekiranya realiti kekal seperti sekarang, maka kesimpulan bagi cadangan saya ialah;

1. Wujudkan cawangan PERUBATAN berdasarkan sistem universiti.

2. Sediakan kuota wajib/khusus bagi wakil daripada setiap muhafazah/universiti sekurang-kurangnya sepasang untuk kerusi AJKT.

3. Wujudkan taakhi sesama universiti atau kawasan atau individu.

Akhir kata, fikirlah dengan akal, berhujahlah dengan akal, ketepikan emosi dan kepentingan diri atau kumpulan tertentu. Biar kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, susah senang hadapi bersama, tiada siapa cuba mengatasi atau membatasi, melainkan beza taqwa kita kepada-Nya.

PERUBATAN untuk Iskandariah, untuk Al-Azhar, untuk Ain Shams, untuk Mansurah, untuk Kaherah, untuk Tanta, untuk Zaqaziq, PERUBATAN untuk semua... ISLAM UNTUK SEMUA...

Wallahu'alam.




MENUJU KE ARAH PERUBATAN YANG LEBIH ADIL DAN BERSISTEMATIK






.

KAPILARI vs JANTUNG




Kapilari, tidakkah kau jemu dengan tugasmu? Tidakkah kau merasa jijik dengan darah yang kau bawa? Dan padamu jugalah tempat berkumpulnya darah sisaan. Mungkin kau merasakan dirimu sangat kecil, dan sememangnya dirimu sangat kecil, aku sebagai tuanmu pun tidak dapat menafikan itu. Mungkin kau jauh di penghujung dunia.

Adakah kau sedar bahawa kau itu kapilari? Dan bukanlah engkau seperti sang jantung, yang mengepam darah berliter-liter, sentiasa diambil berat dan diubat. Kapilariku, sememangnya engkau  kapilari. Jangan kau cuba menjadi jantung, kerana kau ditakdirkan sebagai kapilari.

Mungkin engkau berasa hina, mungkin engkau berasa kecil, mungkin engkau berasa terasa. Tapi, ingatlah wahai kapilariku, tanpamu pasti tidak sampai oksigen dan nutrisi kepada otot-ototku, pasti lemah tubuh badanku. Bahkan, otot-otot jantung itu sendiri mendapat bekalan daripadamu. Tiada beza kau dan jantung. Bagiku, kau dan jantung sama sahaja.

Adakah kau selalu terdengar kata-kataku? Atau terdengar kata-kata profesorku? Memang kami jarang sekali mempertimbangkanmu, bahkan adakalanya kami tidak merasakan kewujudanmu. Maafkan kami atas semua itu. Bukan niat kami untuk berbuat begitu, namun itulah fitrahnya bila kau mendengar penilaian manusia.

Sudahlah kapilariku, jalankan tugasmu jangan kau lengah. Kerana kau juga aku perlu walau jarang kusebut namamu. Hiraukan kalamku, maafkan aku walau aku tidak meminta maaf padamu. Jangan sekali-kali kau kecut atau kembang sesuka hati, dengarlah arahan bila datang hormon padamu. Jadilah dirimu yang sebenar, tolonglah sahabatmu sang venus, sang limpa, sang arteri dan lain-lain. Bila musuh datang menyerang, berikan laluan pada limposait.

Usah kau hirau akan kata-kataku atau sesiapa sahaja. Kerana itu semua hanyalah kata-kata serta penilaian manusia dan para doktor. Apa yang penting, penilaian Tuhanmu, yang juga Tuhanku...




.

APA ADANYA?





Wahai diriku,
Siapakah engkau tahukah engkau,
Apakah yang engkau kejar selamanya,
Jika ditahu hakikat sebenarnya
Pasti musnah segala cita...


Wahai harta,
Kiranya ku tahu apakah nilai dunia,
Pasti kau tiada berguna,
Untuk apa aku kejar sang juta,
Tiada gunanya bagai fatamorgana...


Wahai tahta,
Mengapa mesti engkau dikejar,
Apakah engkau merasa besar,
Siapa dirimu perlu kau sedar,
Sehebat mana pun namamu,
Kau tetap tidak bisa mengatasi,
Kerna Si Dia adalah segalanya...


Wahai wanita,
Mengapa ramai yang jatuh tersungkur,
Hanya demi cinta buta,
Andai ditarik nafsu segala,
Pasti sudah tiada apa,
Walau dihidang bidadari syurga...


Wahai syurga, wahai neraka,
Engkau dikejar ramai manusia,
Nikmat dan azab tidak terkata,
Andai dicabut segala deria,
Pasti tiada nikmat dinikmat,
Pasti tiada azab terazab,
Andai diruntuh mahligai syurga,
Andai dipadam bara neraka,
Syurga diharap sudah tiada,
Neraka dihindar sudah sirna,
Kepada siapa akan kau sembah...


Wahai sang cinta yang setia bercinta,
Sangat asyik dengan cintanya,
Apakah cinta adalah segalanya,
Cubalah direntap segala rasa,
Pasti tiada lagi kata cinta,
Siapa lagi bakal dicinta,
Andai rasa sudah binasa...


Wahai diri yang dengannya difikir,
Mungkin engkau merasa ada,
Andaikata engkau ditiada,
Tahukah engkau apa adanya???




.

BUDAK MALAYSIA TERLIBAT DENGAN PILIHAN RAYA DI MESIR?


 
Terkejutkah anda jika terdapat pelajar Malaysia di Mesir yang terlibat dengan pilihan raya? Jika terkejut, sila jangan terkejut kerana ia merupakan perkara biasa di sini. Di sini juga terdapat organisasi yang khusus untuk menjaga kebajikan para pelajar di sini. Tidak kira sama ada pelajar sains kesihatan atau pelajar agama, kedua-duanya mempunyai organisasi masing-masing. Organisasi ini juga mengalami pemilihan bakal pentadbirnya.

Matlamat yang paling utama organisasi tersebut ialah dakwah, dakwah untuk membawa manusia kepada Allah. Hidup ini tiada apa-apa melainkan hanya untuk Allah. Sesetengah orang melihat hidup sebagai tempat belajar, ada juga yang melihat sebagai tempat berjuang, tempat bergembira, tempat berdakwah, tempat mencari makan dan sebagainya.

Sebenarnya itu semua tiada gunanya jika matlamat akhirnya bukan untuk Allah. Sama-sama kita sedar akan hakikat hidup ini yang sebenarnya.


Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama menyebarkan dakwah sama ada kepada diri sendiri atau orang lain. Janganlah kita hanya melaungkan keinginan untuk berdakwah tetapi tidak mengambil tahu urusannya sama ada dari segi gerak kerja dakwah atau organisasinya. Janganlah hanya pandai mengatakan ini dan itu tidak mantap. Apa yang penting ialah kerjasama untuk ke arah pembaikan.

Selagimana sesebuah organisasi itu diurus oleh manusia, maka sudah tentu ia tidak akan terlepas daripada salah dan silap. Apakah kita mengharapkan kemaksuman sepertimana kaum musyrikin yang inginkan rasul mereka terdiri daripada malaikat?

Wahai mereka yang bergelar pendakwah, yang berada di Bumi Anbia', yang mengikuti aliran sains kesihatan, inilah masanya, inilah medannya, untuk kita sama-sama tunaikan tanggungjawab selaku pendakwah. Adalah sangat malang sekiranya kita hanya pandai menyalahkan tetapi tidak pula pandai menolong, bahkan dikucar-kacirkan sistem dakwah sehinggakan para penyeru bertikam lidah, para mad'u pening tak sudah....









.

APA DAH JADI DENGAN MALAYSIAKU... T_T




GEMPAR AKSI PANAS DUA BERADIK

BUTTERWORTH: Penyebaran rakaman aksi seks sepasang kanak-kanak yang didakwa adik-beradik melalui telefon bimbit menggemparkan penduduk sekitar bandar ini serta mencetuskan kebimbangan mengenai semakin parah keruntuhan moral masyarakat negara ini.

Ini kerana usia pasangan terbabit masih terlalu muda. Budak lelaki terbabit dipercayai berusia antara 11 dan 12 tahun manakala pasangan perempuan antara 13 dan 14 tahun.

Aksi berahi mereka dirakam dari pelbagai sudut dipercayai dalam bilik hotel atau motel oleh pihak ketiga berdasarkan katil dan keadaan sekitar.

Kakitangan swasta dikenali sebagai Azman, 25, yang memperoleh video itu melalui bluetooth daripada rakannya, berkata dia terkejut sebaik melihat aksi pasangan terbabit kerana mereka terlalu muda dan dipercayai masih bersekolah.


“Budak lelaki itu seperti murid tahun lima atau enam manakala remaja perempuan mungkin dalam tingkatan satu atau dua. Kemungkinan mereka adik-beradik kerana fizikal remaja lelaki lebih kecil berbanding pasangannya.


“Saya menggeleng kepala sebaik melihat aksi mereka yang tidak ubah seperti orang dewasa. Bayangkan apa akan jadi kepada mereka pada masa depan dan bagaimana penerimaan ibu bapa mereka jika mengetahui perkara ini,” katanya, semalam.

Menurutnya, tindakan pasangan kanak-kanak itu menggambarkan keadaan moral masyarakat yang semakin merosot dan keadaan ini yang menyumbang peningkatan kes pembuangan bayi hasil hubungan luar nikah.

“Jika murid sekolah rendah sudah pandai beraksi lucah dan dirakam pihak lain, bagaimana orang dewasa.

“Apa akan jadi kepada moral masyarakat beberapa tahun akan datang jika gejala penyebaran aksi seks melalui telefon bimbit semakin berleluasa,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berkuasa segera melakukan sesuatu sebelum gejala penyebaran aksi seks melalui telefon bimbit menjadi ‘wabak’ yang sukar dikawal.

SUMBER : MY METRO



SUAMI MAIN CINTA DI FACEBOOK

SUAMI saya mengadakan hubungan terlarang dengan isteri orang di laman sosial Facebook, baru-baru ini. Hubungan mereka sampai ke tahap mengadakan hubungan seks.

Wanita berkenaan memuat turun beberapa gambar seksinya untuk tatapan suami saya.

Saya juga dapat mengesan hubungan mereka melalui telefon bimbit.

Sehingga kini saya masih dihantui kandungan e-emel dan gambar perempuan itu. Macam mana saya hendak lupakan semua itu dan mengembalikan kasih sayang suami saya demi anak saya yang masih kecil?

FARHANA
Kuala Lumpur


FACEBOOK adalah salah satu khidmat jaringan sosial dan laman web yang menduduki tempat pertama selepas dilancarkan pada Februari 2004.

Sekarang ini ia sudah mempunyai lebih 500 juta pengguna seluruh dunia yang begitu aktif bertukar-tukar maklumat. Setiap pengguna Facebook akan membentuk profil peribadi sendiri dan pengguna lain sebagai kawan dan seterusnya akan bertukar mesej (http://en.wikipedia.org/wiki/Facebook).

Walaupun laman web ini sangat berguna dalam konteks perhubungan sosial, ia juga mengundang perkara negatif dan penyalahgunaan seperti pembaziran waktu kerja, menggalakkan perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan, mendedahkan rahsia peribadi dan rumah tangga kepada umum dan berlaku penipuan.

Ada juga rumah tangga yang hancur akibat hubungan berkenaan. Begitulah antara cabaran dalam dunia siber sekarang.

Hanya keimanan dapat menangkis pengaruh negatif daripada menyerap masuk dalam dada umat Islam.

Hal yang sama berlaku kepada anda suami isteri apabila suami terbabit dalam hubungan dengan isteri orang.

Perbuatannya adalah salah di sisi agama dan undang-undang. Ia tentu sekali mengganggu ketenteraman jiwa seorang isteri dan keharmonian rumah tangga yang dibina.

Jika ia berterusan maka rumah tangga akan terus berantakan dan musnah.

Oleh itu, anda sepatutnya bertindak bijak dengan berbincang dengan suami dan sekiranya perlu, bawa perkara berkenaan ke pengetahuan keluarga masing-masing.

Suami perlu bertaubat kepada Allah kerana melanggar larangan Allah s.w.t sehingga terbabit dalam dosa zina. Sekiranya dia masih berdegil, ambillah 'tindakan' yang lain walaupun ia sangat pahit.

Allah berfirman: "(Lazimnya) perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat, dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik..." (Surah al-Nur ayat 26)

SUMBER : MY METRO


"YA ALLAH,  SELAMATKANLAH KAMI SEMUA..."



APA ERTI CINTA HAKIKI???





Perempuan : Apakah engkau mencintaiku sedangkan aku seorang yang cacat                           tidak sempurna?
                  : Masih ramai lagi perempuan lain di dunia...
                  : Yang lebih cantik, sempurna dan mempesona...
                  : Memang kamu seorang yang gila...
                  : Atau pencinta kebutaan mata...


Lelaki         : Ya, memang aku seorang pencinta.
                  : Tidak aku harapkan dari duniaku apa-apa...
                  : Melainkan engkau menjadi isteriku jua...
                  : Telah Allah kurniakan aku harta...
                  : Namun tiada penawar penyembuh luka...


Perempuan : Kalau engkau mampu kembalikan penglihatanku,
                  : Nescaya aku reda ditakdirkan denganmu...
                  : Akan aku habiskan hidupku bersamamu...
                  : Tetapi, siapakah yang akan kembalikan penglihatanku...


Hari-hari seterusnya berlalu dengan cepat...


Lelaki         : Kekasihku, berita baik buatmu!
                  : Penderma matamu telah ku temu!
                  : Engkau akan melihat ciptaan-ciptaan Allah Yang Satu!
                  : Dan pastinya engkau akan menunaikan janjimu padaku...
                  : Dan engkau juga akan menjadi isteriku...


Pada hari terbukanya mata si perempuan... Si lelaki berdiri, sambil berada di sisi kekasihnya... Si perempuan pun melihat kekasihnya... Alangkah terkejutnya dia...


Perempuan : Apakah engkau juga seorang yang buta??!!


Maka si perempuan itu pun menagis...


Lelaki         : Janganlah engkau bersedih wahai kekasihku...
                  : Engkau akan menjadi penunjuk jalanku...
                  : Jadi, bilakah engkau akan bergelar isteriku wahai kekasihku?


Perempuan : Apakah akan ku kahwini seorang yang cacat?!
                  : Sedangkan hari ini aku telah mampu melihat!


Maka si lelaki pun menangis... Sambil berkata...


Lelaki          : Maafkan aku wahai kekasihku...
                  : Siapalah aku untuk mengahwinimu...
                  : Tetapi, sebelum engkau meninggalkanku,
                  : Berjanjilah kepadaku,
                  : Bahawa engkau akan menjaga dengan baik mata-mataku...






.

NAK KAHWIN? JANGAN DENGAR CAKAP YAHUDI...


Bila boleh kahwin? Selepas belajar? Sistem pendidikan masa kini, selain daripada bersifat sekular dan berorientasikan peperiksaan, ia juga menjadi penyekat zuriat umat Islam dan tidak mempedulikan fitrah nafsu manusia. Hasilnya? Fikirkan sendiri...

TADIKA > SEKOLAH RENDAH > SEKOLAH MENENGAH > DIPLOMA/MATRIKULASI > IJAZAH SARJANA MUDA >IJAZAH SARJANA > IJAZAH DOKTOR FALSAFAH>IJAZAH SARJANA TUA?? Sistem siapa yang kita guna??

Bila la nak boleh kahwin? Tunggu la sampai abeh belajaq. Belajaq sampai mati pon takkan abeh...


USIA BUKAN PENGHALANG UNTUK KAHWIN

PETALING JAYA: Siti Maryam Mahmod, pengantin muda berusia 14 tahun yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini melihat usia bukan penghalang baginya untuk berkahwin.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Maya berkata, perkahwinan itu adalah hak individu dan bagi dirinya sendiri sudah bersedia untuk berhadapan dengan komitmen sebagai seorang isteri. “Saya sudah pun memikirkan tentang tanggungjawab dan kesannya apabila berkahwin pada usia semuda ini.

“Tetapi pada masa yang sama ibu telah membimbing saya tentang apa itu perkahwinan dan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri,” katanya kepada Mingguan mStar.

Maya berkata, apa yang lebih memudahkan keadaan ialah dia dan suami serta keluarga berfikiran terbuka berhubung isu perkahwinan ini walaupun ia telah menjadi perbualan hangat sehingga mencetuskan kontroversi.

Kata Maya, adalah menjadi hak umum untuk menilai keputusan itu dan menambah, siapalah dia mahu menutup mulut orang untuk berkata-kata tentang dirinya tetapi apa yang penting ialah dia bukan membuat satu dosa.

“Setiap tohmahan, pandangan negatif atau salah faham mengenai perkahwinan saya adalah merupakan pendapat masing-masing. Saya terimanya dengan hati yang terbuka.

“Dalam perkahwinan tiada paksaan dan tiada isu saya dipaksa untuk menjadi dewasa. Dia (suami) melamar saya dan perkahwinan kami direstui oleh kedua-dua keluarga...itu yang penting,” katanya yang menolak dakwaan yang mengatakan hak gadis bawah umur untuk membesar, belajar dan mengembang potensi diri telah dinafikan apabila ‘dipaksa menjadi dewasa’ menerusi perkahwinan.

Mengenai kemungkinan akan mengandung hasil daripada perkahwinan itu dan persediaannya bergelar ibu pada usia muda, Maya berkata, dia dan suaminya sudah bersepakat untuk tidak mendapatkan anak pada masa ini.

Jelasnya, suaminya mahu dia menumpukan pada pelajaran terlebih dahulu dan hanya memikirkan soal anak apabila tamat pengajian kelak.

Maya berkata, dia berharap agar masyarakat berfikiran terbuka terhadap perkahwinannya yang mendapat kebenaran daripada mahkamah dan juga kedua-dua belah keluarga.

“Umur bukan ukurannya kerana yang penting adalah pendidikan dan persediaan untuk menjadi isteri secara mental dan fizikal. Hormatilah keputusan ini (berkahwin)...tetapi sekiranya apa yang saya lakukan ini telah menyinggung mana-mana pihak, maka saya bersedia memohon maaf,” ujarnya.

Sementara itu, suami Maya, Abdul Manan Othman, 23, pula berkata, perkahwinan itu bukan satu paksaan dan keputusan untuk berkahwin itu atas dasar suka sama suka.

Dia mengenali Maya sejak awal tahun dan berhubung rapat dengan keluarganya maka tidak salah sekiranya perkenalan itu diteruskan menerusi perkahwinan.

Abdul Manan yang merupakan seorang guru dan Maya pula masih belajar di sebuah sekolah menengah agama dekat sini menyifatkan keputusan mereka tidak memberi sebarang kesan kepada statusnya sebagai pendidik.


“Tidak semestinya sebagai guru yang tugasnya mendidik, tidak boleh berkahwin dengan pelajar. Perkahwinan ini bertujuan mengelakkan sebarang pandangan serong atau negatif masyarakat mengenai pertalian saya dengan pihak keluarga perempuan,” katanya.

Abdul Manan yang tidak menafikan usia muda mereka menuntut pengorbanan yang besar dalam semua aspek sanggup untuk belajar tentang pengalaman berrumahtangga dengan bantuan keluarga.

“Pada masa ini, apa yang boleh dilakukan bersama-sama, itu yang akan kami amalkan. Tidak kira siapa suami, siapa isteri kami akan melaluinya bersama,” katanya lagi.

Abdul Manan menambah, perkahwinan mereka itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana masih ramai pasangan muda turut berkahwin dan yang paling penting ia sah di sisi agama.

“Tidak baik sekiranya dipertikaikan kerana apa yang kami buat bukan satu perkara yang haram atau dosa. Saya dan dia (isteri) pergi ke mahkamah bagi mendapat kebenaran untuk berkahwin.

“Kenapa perkara yang baik, orang menjadikannya sebagai isu sedangkan banyak perkara lain yang tidak sepatutnya berlaku tidak mendapat perhatian masyarakat.

“Ia satu perkara yang halal. Jika saya berkahwin dengan Maya yang berusia 14 tahun sedangkan ada yang sebaya dengannya mengandung anak di luar nikah itu lebih penting untuk mendapat perhatian masyarakat daripada isu diri saya dan juga Maya,” katanya.

Kedua-dua pasangan ini telah melangsungkan perkahwinan pada 22 Oktober lalu tetapi menjadi perhatian media selepas menyertai Majlis Meraikan Pengantin 1Malaysia anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), minggu lalu. Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Isu perkahwinan pasangan muda itu telah menyebabkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa beliau dan kerajaan tidak bersetuju dengan perkahwinan remaja pada usia yang muda.

Shahrizat berpendapat, remaja yang berusia muda memerlukan lebih perlindungan dan keselamatan.

“Perkahwinan merupakan satu perkara yang serius. Dikhuatiri perkara seumpama ini akan menjadi satu budaya. Risiko dan impaknya juga amat serius kepada mereka yang berkahwin pada usia muda,” kata Shahrizat yang menyifatkan institusi keluarga bukan sesuatu yang harus dipandang remeh.




"SAYA YANG IZINKAN MEREKA BERKAHWIN"

PETALING JAYA: “Saya yang izinkan mereka berkahwin...” - itulah kata-kata pertama yang keluar dari mulut Siti Hawa Kassim, ibu kepada pengantin perempuan yang mencetuskan kontroversi kerana berkahwin pada usia 14 tahun minggu lalu.

Siti Hawa, 40, menjelaskan, dia dan suaminya memberi keizinan kepada Siti Maryam Mahmod yang lebih mesra dengan panggilan Maya itu untuk berkahwin kerana yakin, pendidikan agama yang telah diberikan dapat membimbing anaknya itu menjadi seorang isteri yang matang untuk menempuhi alam rumahtangga yang serba mencabar.

Keputusan itu juga dibuat setelah suami kepada anaknya itu berjanji dan bersetuju untuk memastikan Siti Maryam menamatkan pengajian menengahnya di sebuah sekolah menengah agama dekat sini.

“Anak saya sudah akil baligh dan diberikan pendidikan agama. Saya percaya suaminya juga boleh membimbingnya ke arah yang lebih baik. Malah keputusan ini juga mengambil kira janji suaminya untuk memastikan dia belajar sehingga tamat pengajiannya,” kata ibu yang bertugas di sebuah syarikat multinasional di ibu kota ini dalam temuramah eksklusif dengan Mingguan mStar semalam.

Siti Hawa yang tidak mahu gambarnya disiarkan demi untuk menjaga privasinya menambah, suami Maya (Abdul Manan Othman) adalah seorang guru dan seorang lelaki yang baik dan yakin Manan boleh melakukannya (membimbing Siti Maryam) memandangkan dia juga diberikan pendidikan agama yang tinggi.

Siti Hawa berkata, sebelum memberi keizinan Abdul Manan dan Siti Maryam atau lebih dikenali sebagai Maya untuk berkahwin, dia sudah membuat solat istikarah bagi memohon petunjuk daripada Tuhan.

Detik perkenalan pasangan suami isteri muda itu bermula apabila Abdul Manan yang merupakan guru agama mengajar dua orang adik Maya.

Hubungan baik dan sikap ramah Abdul Manan telah mendorong Siti Hawa untuk mengambil dia sebagai anak angkat dan menjadi sebahagian daripada keluarga itu.

Isu perkahwinan Maya pada usia muda telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan banyak pihak termasuk mendapat reaksi daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sharizat Jalil yang menyatakan keputusan mahkamah untuk membenarkan Maya berkahwin bukanlah merupakan satu polisi yang direstui oleh Kerajaan Pusat.

Pelbagai pertubuhan wanita dan hak asasi wanita turut tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun dalam menjawab semua persoalan itu, Siti Hawa tidak dinafikan pada peringkat awalnya dia berasa terkilan apabila segelintir pihak tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Menurutnya, sebagai rakyat 1Malaysia, masyarakat sepatutnya menghormati antara satu sama lain, tidak kira bangsa atau agama.

“Bagaimanapun akhirnya saya sedar itu adalah hak individu untuk bersuara. Lain orang lain pendapatnya. Apa yang penting adalah tindakan saya mengizinkan Maya berkahwin pada usia muda itu tidak bercanggah daripada hukum syarak dan agama.

Namun sebagai seorang ibu, Siti Hawa yang enggan gambarnya disiarkan berharap agar masyarakat berfikiran terbuka dan rasional mengenai perkara tersebut.

“Masing-masing mempunyai pandangan tetapi janganlah menafikan hak kami sekeluarga dan keputusan Maya dan Manan untuk berkahwin dibuat selepas mendapat restu daripada pihak kami serta kebenaran daripada mahkamah.

Dalam pada itu, Siti Hawa juga menegaskan, dia sentiasa memantau anaknya dan Abdul Manan Othman dari segala aspek meskipun kedua-duanya sudah menjadi suami isteri yang sah.

“Sebagai ibu, saya tidak akan membiarkan anak-anak saya sendirian menghadapi risiko berkahwin pada usia muda ini.

“Sebelum mereka berkahwin lagi sudah diperjelaskan tentang apa itu perkahwinan. Setiap kejadian itu ditentukan oleh Allah, ada hikmah di sebalik sebarang kejadian,” katanya.

Siti Hawa juga berpendapat perkahwinan anaknya pada usia 14 tahun bukanlah satu isu yang besar kerana baginya kematangan bukan lah terletak pada umur seseorang tetapi sebaliknya terletak pada pendekatan dan pendidikan yang diterimanya.

“Konsep perkahwinan awal ini sebenarnya boleh membendung perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Kita semua sedia maklum tentang permasalahan masyarakat yang berlaku di negara ini sedangkan perkahwinan anak saya adalah satu perkahwinan yang sah,” ujarnya lagi.

Menurut Siti Hawa, perkahwinan itu juga tidaklah bermakna perhubungan di antara ibu dan anak terputus kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan keluarga masing-masing.

“Walaupun Maya sudah bergelar isteri orang, namun saya masih bertanggungjawab memberikan nasihat dan memastikan anak saya itu meneruskan pembelajarannya di sekolah sehingga tamat,” katanya.

“Saya berharap masyarakat berdoa semoga perkahwinan mereka diberkati dan saya berterima kasih kepada mereka yang telah membantu dan memberikan sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya.



"Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu untuk berkahwin, maka berkahwinlah. Sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu baginya sebagai benteng."

(Riwayat Muslim)


Ada orang yang sengaja memperbesarkan perkara yang kecil, lalu orang berasa sulit untuk melakukannya.

Kematangan bukanlah pada umur, tetapi pada pegangan agamanya.

Sistem yang Islam ajarkan adalah terlalu sempurna, apabila berlaku penambahan, pengurangan atau pertukaran pada sistem itu, maka rosaklah dunia...



"Telah muncul kerosakan di darat dan di laut dengan sebab tangan-tangan manusia sendiri, tujuannya adalah supaya mereka merasakan akibat daripada apa yang telah mereka lakukan, moga dengan itu mereka kembali (kepada hukum/sistem Allah)."

(Ar-Rum : 41)



.

WAH! HEBATNYA PERANAN FACEBOOK!!!




LOS ANGELES: Jika dulu perceraian sering berlaku akibat kesan gincu di baju suami atau pesanan ringkas dalam telefon bimbit, kajian terbaru menunjukkan masalah itu kini disumbangkan oleh laman sesawang sosial seperti Facebook.

Berdasarkan kajian Akademi Peguam Perkahwinan Amerika itu, satu daripada lima perceraian di negara berkenaan membabitkan laman sesawang sosial.

Kira-kira 80 peratus peguam juga melaporkan jumlah ketara individu menggunakan media sosial sebagai bukti kecurangan pasangan masing-masing.

Antara bahan digunakan adalah mesej dan gambar menggoda di Facebook.

Kewujudan laman sesawang itu didapati membolehkan seseorang berhubung semula dengan bekas kekasih masing-masing selepas terpisah sekian lama.

Kajian itu menunjukkan, Facebook adalah penyumbang terbesar masalah rumah tangga dengan 66 peratus peguam mendakwa ia dikemukakan sebagai bukti tuntutan perceraian.

Penyumbang kedua terbesar adalah laman sesawang MySpace (15 peratus) dan diikuti Twitter (5 peratus).

Selebihnya adalah laman sesawang sosial lain.

Tahun lalu, sebuah firma guaman Britain mendakwa, 20 peratus petisyen perceraian di negara itu mengaitkan Facebook sebagai punca.

Pengarah Urusan Divorce-Online, Mark Keenan, berkata kebanyakan pengguna laman sesawang sosial menggunakan kemudahan itu untuk berbual mengenai seks dengan seseorang yang tidak sepatutnya.

Laman sesawang Friends Reunited yang dilancarkan untuk menghubungkan kenalan lama di zaman persekolahan pada 1999 turut memberi kesan terhadap rumah tangga ahlinya.

Baru-baru ini, bintang siri, Desperate Housewives, Eva Longoria, mengambil keputusan berpisah daripada pasangannya, Tony Parker, selepas pemain bola keranjang itu didakwa sering berhubungan dengan wanita lain melalui Facebook. - Agensi

SUMBER : METRO



Sama-sama kita fikirkan, sebelum ini pernah juga saya tulis tentang ini. LINK.

Sebahagian orang menggunakan Facebook dengan alasan bahawa terlalu ramai orang menggunakan Facebook, dengan sebab itu dia boleh menggunakan Facebook sebagai medium dakwah. Sejauh manakah kebenaran perkara ini? Mungkinkah mereka akan kecundang?

Memang wujud golongan yang kecundang, mungkin mereka ada alasan yang seterusnya, iaitu ;


"Apa-apa yang tidak dapat dilakukan kesemuanya, janganlah pula ditinggalkan kesemuanya".



Maksudnya, walaupun mereka tidak dapat melakukan tugas dakwah sepenuhnya disebabkan kecundangan yang berlaku, sekurang-kurangnya mereka masih dapat meletakkan beberapa 'quote' nasihat pada statusnya.

Mungkin juga dengan alasan untuk menyebarkan maklumat, untuk mencari kawan-kawan lama. Bak kata orang, "berukhuwwah", berukhuwwah di Facebook.

Akhirnya, cuba fikirkan, adakah itu semua lebih utama berbanding menjaga institusi rumah tangga dan pergaulan islamiyyah? Bukankah apabila bertembung antara kebaikan yang kecil dengan keburukan yang besar, diutamakan mengelakkan keburukan tersebut walaupun terpaksa meninggalkan kebaikan yang kecil tersebut?


Kaedah fiqh Al-Muwazanat:

Apabila bertembung antara maslahah (kebaikan) yang kecil dengan mafsadah (keburukan) yang besar dalam sesuatu perkara, maka diutamakan untuk mengelakkan mafsadah yang besar tersebut, sekalipun terpaksa meninggalkan maslahah yang kecil tersebut.



Arak ada kebaikannya, tetapi disebabkan keburukannya yang lebih besar, maka ia diharamkan.


"Mereka bertanyakan kamu tentang arak dan judi. Katakanlah bahawa pada kedua-duanya ada dosa yang besar dan beberapa manfaat untuk manusia. Tetapi, dosa kedua-duanya adalah lebih besar berbanding manfaat kedua-duanya."

(Al-Baqarah : 219)


Apa-apapun, perkara ini bukanlah terletak pada nama "Facebook", "Blogger", "Yahoo Messenger", "Myspace" atau lain-lain. Tetapi ia terletak pada salah laku yang berlaku seperti;

1. Pergaulan bebas
2. Mengumpat
3. Curang
4. Pendedahan aurat
5. Membocorkan rahsia
6. Menyebarkan fitnah
7. Dan lain-lain...

Tepuk tangan buangkan kuman,

Tepuk dada tanyakan iman... ^_^


BACA JUGA, LINK.




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...