Pluralisme dalam beragama?
Semasa kecil, mungkin agak mudah untuk menjawab persoalan apa itu Islam. Biasanya orang akan menjawab Islam itu sebuah agama yang dianuti oleh seseorang, mempunyai 5 rukun islam dan 6 rukun iman.
Apabila dewasa, semakin dikaji apa itu Islam, saya merasakan bahwa makin ramai yang makin kabur dengan makna Islam. Mungkin ada yang merasakan Islam itu tempatnya di masjid, mungkin ada yang merasakan Islam itu adalah mazhabnya dalam berfekah, mungkin ada yang merasakan Islam itu adalah pendapat atau ijtihad seseorang ulama dalam sesuatu perkara meskipun pendapat tersebut memecah-belahkan umat Islam, dan yang paling teruk adalah apabila seseorang itu menganggap Islam itu hanyalah sekadar nama agama yang digunakan untuk mengisi borang atau untuk dicetak pada kad pengenalan.
Lebih malang lagi apabila mereka yang mengaku perjuangkan Islam sendiri pun tidak dapat bersatu dalam melaksanakan misinya. Bagaimana mereka dapat menjadi contoh kepada masyarakat jika sesama mereka pun berpecah? Adakah mereka sendiri tidak memahami Islam yang kononnya mereka perjuangkan?
Islam adalah 'din'. Apa itu 'din'? Din ialah cara hidup, sistem kehidupan, peraturan yang kita gunakan untuk hidup. Islam adalah sistem yang mengawal kita sejak daripada kita lahir sehinggalah kita mati. Itulah Islam, maka tiada satu pun sistem yang boleh kita gunakan melainkan sistem Islam.
Sistem ini merangkumi cara kita berfikir, ia mengawal AKAL dan minda kita, inilah yang dinamakan AQIDAH. Islam juga mengawal segala perbuatan JASMANI dan aktiviti anggota badan kita, bermula daripada bangun tidur sehinggalah kita tidur kembali, ia merangkumi segala aspek luaran kehidupan manusia yang biasanya dikategorikan sebagai ekonomi, politik dan sosial, inilah yang dinamakan FIQH. Ia juga mengawal emosi, NAFSU dan kehendak kita, supaya hidup kita sentiasa bahagia dan tenang walaupun kita berada dalam keriuhan dan suasana perang, inilah yang dinamakan TASAWWUF. Ia diringkaskan dalam sebuah hadis yang menyebutkannya sebagai Iman, Islam dan Ihsan.
Manusia yang pada asalnya adalah roh, dikurniakan pula AKAL, JASMANI dan NAFSU. Maka dengan itu Allah juga menurunkan tiga sistem utama (aqidah, fiqh dan tasawwuf) sebagai memenuhi keperluan ketiga-tiga kurniaan itu. Apabila telah seimbang dan terpenuhi keperluan akal, jasmani dan nafsu berdasarkan kehendak Allah, maka bahagialah jiwa atau roh kita ini, inilah kemuncak kepuasan bagi roh kita. Orang-orang sebegini rohnya bagai di langit tinggi walau jasadnya rendah di bumi, sebagaimana orang yang bermimpi naik ke bulan sana, tapi jasadnya di atas katil.
Aturan sistem yang tiga ini adalah sama bagi semua umat manusia, kecuali pada sistem FIQH yang mana terdapat beberapa perbezaan antara umat rasul yang berbeza. Perbezaan padanya adalah terlalu kecil dan tidak sepatutnya menjadi pertikaian sesama muslim dan mukmin. Kesemua pensyari'atan hukum fiqh tersebut adalah sama tujuannya, ia berkongsi matlamat yang satu, iaitu pengabdian kepada Allah, cuma cara pelaksanaannya saja yang sedikit berbeza, kepelbagaian ini bukanlah modal perpecahan, sebaliknya sebagai rahmat dan tanda kekuasaan Allah yang mampu melakukan apa yang dikehendakiNya, sebagaimana kita juga ada yang berbeza bangsa, jantina, minat dan bentuk kejadian. Semua nabi dan rasul berpegang dengan agama yang satu iaitu Islam. Semuanya bersatu atas dasar aqidah dan hakikat ketuhanan Yang Esa.
Apabila kita memahami hakikat ini, maka dapatlah kita realisasikan tuntutan kesatuan yang mesti berlaku pada umat Islam. Kenapa? Kerana tiada satupun sebab yang boleh membuatkan kita berpecah melainkan bagi mereka yang ego, munafiq, menurut hawa nafsu dan tidak ikhlas dalam beragama.
Bagaimana jika ada yang berkata bahawa memang kita inginkan kesatuan, namun sukar kerana permintaan Nabi Muhammad agar kita bersatu tidak dimakbulkan Allah. Ketahuilah, sekiranya Allah telah menetapkan seseorang itu sebagai punca perpecahan umat Islam tanpa sebab yang Allah redha, maka Allah juga telah menetapkan balasan untuknya. Orang ini tidak ubah seperti seorang pencuri yang mengatakan kepada hakim bahawa Allah telah mentakdirkan dirinya sebagai pencuri, maka hakim itu menjawab, Allah juga telah mentakdirkan agar tanganmu dipotong.
Jika Allah mentakdirkan pada zaman ini wujudnya mereka yang soleh dan fasiq (jahat), maka perhatikanlah dalam golongan manakah kita. Anda mampu mengubahnya.
Islam adalah agama kesatuan aqidah, kesejahteraan dan keadilan. Jahiliyyah pula adalah ajaran perpecahan, kehancuran dan kezaliman. Hak mesti dipertahankan walaupun ia berada pada Si Kafir, kezaliman dan penindasan mesti ditentang walaupun ia dilakukan oleh yang mengaku Islam.
Ada manusia yang tidak dapat membezakan antara 'digelar Islam' dengan 'beragama Islam'. Maka tidak hairan munculnya kata-kata "Aku melihat Islam di barat walaupun tiada Muslim, aku tidak melihat Islam di timur walaupun Muslim berjuta."
"Lebih baik mengikut Si Kafir ke kedai kopi daripada mengikut Muslim ke kedai arak, judi dan disko.."
Umat Islam mesti bersatu atas dasar Islam untuk mendapatkan kemenangan kerana Allah telah menetapkan kelemahan apabila berpecah. Adapun mereka yang cintakan perpecahan mesti ditentang walau bertopengkan serban dan jubah. Usaha untuk menyedarkan pecinta perpecahan bukanlah sesuatu yang buruk atau merosakkan ukhuwwah islamiyyah, bahkan itulah panduan yang diajarkan oleh Allah untuk hamba-Nya.
Jangan sesekali kita termasuk dalam golongan yang memutarbelitkan makna ukhuwwah. Ukhuwwah bukanlah senyum setiap masa, lembut setiap masa, bertanyakan "enta sihat?" apabila berjumpa, atau membantu sesama muslim dalam melakukan maksiat, permusuhan dan perpecahan. Ukhuwwah juga bukanlah dengan kita mengambing hitamkan salamatus sadri untuk menghalalkan perpecahan.
"Dan jika terdapat dua kumpulan mukmin yang berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Maka apabila salah satu daripada mereka melanggar perjanjian terhadap yang lain, maka perangilah kumpulan yang melanggar perjanjian itu sehinggalah mereka kembali pada perintah Allah. Maka apabila kumpulan itu telah kembali kepada perintah Allah, maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan keadilan dan berlaku jujurlah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang jujur."
( Al-Hujurat : 9 )
Bukanlah yang dikatakan salamatus sadri itu dengan kita berlapang dada dalam perkara yang Allah perintahkan agar diperangi. Memerangi atau bertegas terhadap pencinta perpecahan bukanlah tanda tiada ukhuwwah, bahkan itulah ukhuwwah yang sebenarnya. Kerana rasa sayang dan cinta terhadap sesama mukminlah yang membuatkan kita bertegas untuk menyelamatkan mereka daripada dosa perpecahan, walaupun mereka merasakan ia pedih dan sukar. Itulah yang dilakukan oleh doktor apabila merawat pesakitnya, meskipun ia tahu ubat itu pahit dan dibenci oleh pesakitnya, dia tetap memaksa dan menyuruh pesakitnya makan ubat itu. Itulah lumrah alam dan sunnatullah yang Allah tetapkan.
Alam ini teratur kerana Pentadbirnya satu,
Sistem solar ini teratur kerana rujukannya satu,
Tubuh badan ini teratur kerana otaknya satu,
Sel tubuh teratur kerana nukleusnya satu,
Revolusi Mesir juga berjaya kerana rakyatnya bersatu,
Namun, umat Islam kini terabur kerana wala'nya hampir mustahil menjadi satu...
Wallahu'alam..
.





0 comments:
Post a Comment