JAHILIYYAH vs KEMAJUAN





MESIR...

Terasa tenang hati ini, terasa damai jiwa ini, terasa sejuk mata ini, terasa bahagia hidup ini... Ke manakah perginya hiruk-pikuk yang sebelum ini menyumbat telinga? Ke manakah perginya kekasaran yang sebelum ini mengerikan jiwa? Ke manakah perginya sampah-sarap yang sebelum ini menyakitkan mata?

Rupa-rupanya, bukan mereka yang pergi meninggalkanku. Tapi, aku sendiri yang lari meninggalkan mereka. Bukan kerna ku benci, ini adalah sebuah keterpaksaan, yang terpaksa aku lakukan... Akan ku cuba jejakkan kembali kakiku di Mesir sana, insyaAllah...



PERBEZAAN ADALAH MODAL PERPECAHAN?

Terlalu banyak perbezaan bumi Mesir dengan Malaysia, jika hendak dibilang, pasti tidak termampu kalkulator membilangnya. Namun, itu semua bukanlah perbezaan yang memisahkan kita. Memang sengaja Allah ciptakan manusia ini berbeza bangsanya, berbeza kaumnya, berbeza budayanya, berbeza caranya. Kenapa? Adakah ini semua adalah modal perpecahan? Adakah ini helah yang menghalalkan perpecahan?

Tidak. Tidak sama sekali. Tidaklah Allah ciptakan semua itu melainkan agar kita saling mengenali dan mempelajari serta memahami antara satu sama lain. Biarlah sejuta beza sekalipun, namun kita tetap bersatu atas dasar aqidah, bersatu atas nama Allah Yang Maha Esa. Bukanlah kita golongan yang bersatu atau berpecah atas dasar kebangsaan, bukan atas dasar perkauman, bukan atas nama kumpulan, bukan atas nama individu tertentu, bukan juga atas rasa benci dan tidak puas hati. Ingatlah, tiada kebaikan pada perpaduan atau perpecahan yang bukan atas dasar Islam.

Tapi inilah realiti umat Islam kini yang sentiasa mencari titik perpecahan yang satu, berbanding titik persamaan yang berjuta-berjuta beribu-beribu.

SIAPA PALING MAJU? SIAPA PALING JAHILIYYAH?

Setelah sampai di Malaysia, timbul rasa syukur atas nikmat yang secara zahirnya dapatlah saya katakan bahawa Malaysia jauh lebih maju berbanding Mesir. Namun, adakah cukup sekadar itu yang menjadi kayu ukur kita dalam menentukan kehebatan dan kemajuan sesebuah tamadun? Cukupkah kita jika dikelilingi oleh bangunan yang tinggi menjulang, tapi akhlak yang rendah, rebah, jatuh tersungkur di lembah hina. Cukupkah kita dengan komunikasi sesama kita yang tidak pernah putus, namun komunikasi dengan Tuhan hampir pupus. Cukupkah kita dengan kesihatan jasmani yang mantap, sedang hati dan jiwa sakit, lumpuh, derita, hampir hilang nyawanya.

Sebagai muslim, tentulah kemajuan material tidak menjadi piawaian utama dalam menentukan ketamadunan sesebuah umat. Tidak perlu kita bangga dengan kemajuan yang ada, kerana umat terdahulu yang sering dikatakan ketinggalan, sebenarnya mereka lebih hebat dan maju daripada umat sekarang. Siapakah pada zaman ini yang mampu menandingi kaum Tsamud yang mejadikan bukit-bukau dan gunung-ganang sebagai mahligai tempat tinggal mereka? Siapakah dalam kalangan umat ini yang mampu menandingi Fir'aun yang mempunyai istana yang tidak pernah runtuh sehingga ke hari ini? Akhirnya, mereka semua hancur binasa disebabkan jahiliyyah dan keingkaran pada Allah.



Antara peninggalan mahligai kaum Tsamud, mereka hidup pada zaman Nabi Saleh.

Jelaslah bahawa kemajuan material hanyalah sebuah ujian keimanan yang seharusnya kita hadapi dengan sebaiknya, janganlah kita termasuk dalam golongan yang tertipu apabila dijanjikan dengan kemewahan, kemajuan, harta dan tahta.

SEJAUH MANAKAH KEPENTINGAN KEMAJUAN MATERIALISTIK?

Dalam Islam, agak sedikit dibincang berkaitan pembangunan material, sehinggakan ada pihak yang menganggap Islam membawa ke arah kemunduran dan ketinggalan zaman. Sebenarnya Islam tidak pernah menolak kemajuan, bahkan jika dilihat dari sudut ketenteraan, Allah memerintahkan agar kita menggunakan teknologi dan kelengkapan persenjataan yang terbaik berdasarkan kemampuan kita. Islam sangat meraikan kemajuan duniawi, namun, Islam mengajar kita tentang keutamaan. Kemajuan spiritual adalah jauh lebih utama berbanding kemajuan material. Oleh itu, apabila kita terpaksa mengorbankan agama hanya kerana benda, maka tiada lagi kemuliaan, melainkan kehinaanlah yang akan menggantikan kemuliaan tersebut.

Adakah kita berwawasankan 2020? atau 2050? atau 3000? Sebagai muslim, wawasannya tiada lain melainkan wawasan akhirat. Itulah wawasan yang diimpikan dan diusahakan oleh setiap muslim dan mukmin. Apabila kita telah meletakkan matlamat dan wawasan kita adalah akhirat, maka kita akan berusaha sehabis baik untuk kejayaan wawasan tersebut. Adapun kesusahan yang dihadapi untuk menuju wawasan tersebut, maka tidaklah dihiraukan kerana ia sedar bahawa belum tiba masanya untuk memetik buah, belum tiba masanya untuk berenang-renang ke tepian. Sekarang adalah masa untuk bersusah-payah demi kebahagiaan yang hakiki yang sedang menanti.

Apabila kita sudah jelas dengan wawasan akhirat, maka kita pasti tidak akan berasa resah atau gelisah walaupun sedikit sekiranya kita tidak dapat menikmati kesenangan material.

Seorang petani yang gigih, tekun, susah dan letih ketika bekerja, tidak pernah menghiraukan semua itu kerana apa yang berada dalam fikirannya ialah hasil yang banyak dan subur. Segalanya sanggup diredah dan dilakukan demi sebuah hasil yang lumayan. Jika hasil tumbuhan dunia yang akan fana mampu membuatkan manusia lupa akan akan segala kesusahan, apatah lagi hasil akhirat yang tidak terbayang nikmatnya, yang kekal selamannya. Dengan syarat, ada imannya. Jika tidak, pasti dirasa dunia mengatasi segalanya.

Itulah lumrahnya, jika susah, ia sedar bahawa itu ketetapan bagi pejuang. Jika senang, ia bersyukur. Bahkan ada yang takut sekiranya dengan kesenangan itu ia jadi tertipu, leka dan lalai pada Tuhannya.

Wallahu'alam...



Cadangan bacaan : MATI PEMANGKIN KEMAJUAN
.

2 comments:

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Memang sengaja Allah ciptakan manusia ini berbeza bangsanya, berbeza kaumnya, berbeza budayanya, berbeza caranya spt terdpt dlm Surah AnNisa:1 ...وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَ Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan [mempergunakan] nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain [2], dan [peliharalah] hubungan silaturahim
Disini perkataan yg penting sekali adalah `walarhaam` dimana ada menyentuh hubungan manusia dgn Allah SWT. Manusia dan kemanusiaan. Manusia mmg ramai tapi ramai yg tak nak Islam (wpun org Islam). Lebih jelas lagi, setiap perkara yg menyentuh mengenai kemanusiaan mesti ada kena mengena dgn Islam. Asas ikatan sesama org Islam adalah `tali Allah` spt dlm Surah AlBaqarah:256فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا‌ۗ Maka sesungguhnya ia telah berpegang-teguh kepada tali yang amat kuat yang tidak akan putus.
Ikatan2 inilah yg tidak akan terlerai selagi mrk berpegangteguh kpd AlQuran dan Sunnah. Sebaliknya dgn ikatan ini jugalah, org2 mukmin sanggup berhijrah dan berpisah dari rakan2 setelah terbukti mrk tidak sedia mengambil peluang utk memerintah apabila Allah SWT membuka `pintu kebaikan` Sabda Rasulullah saw,`Brgsiapa Allah buka pintu kebiakan, hendaklah ia rebut (falyantahiz), sesungguhnya tiadalah seseorang itu tahu bila pintu kebaikan ditutup semula` Riwayat Bukhari.
Diantara Obama menyuruh Hosni Mubarak adalah menyuruh menutup cepat2 pintu tersebut dan menyambung `sistem demokrasi` yg sedia ada! masyaAllah jadilah sistem kufr yg berulang2 dimana sudah byk perit-jerih dikeluarkan tetapi sia2 saja spt dlm Surah AnNahli:92وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّتِى نَقَضَتۡ غَزۡلَهَا مِنۢ بَعۡدِ قُوَّةٍ أَنڪَـٰثً۬ا تَتَّخِذُونَ أَيۡمَـٰنَكُمۡ دَخَلاَۢ بَيۡنَكُمۡ أَن تَكُونَ أُمَّةٌ هِىَ أَرۡبَىٰ مِنۡ أُمَّةٍ‌ۚ إِنَّمَا يَبۡلُوڪُمُ ٱللَّهُ بِهِۦ‌ۚ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ مَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ Wallahualam

DEVOTEE said...

wa'alaikumussalam w.b.t

na'am, selagi kita semua berpegang pada al-quran dan as-sunnah serta tidak berpecah-belah, kita tidak akan sesat insyaAllah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...