SISTEM PENG"AJAR"AN YANG KURANG "AJAR" (3)



4. PENUNTUT ILMU

Sekarang kita beralih pula kepada aspek pelajar, iaitu orang yang ingin menuntut dan mempelajari ilmu. Terdapat pelbagai kaedah dan petua untuk menjadi penuntut ilmu yang cemerlang dan hebat. Banyak perkara yang perlu dijaga agar ilmu tidak sekadar masuk ke telinga atau sekadar diingat untuk peperiksaan, bahkan ilmu adalah untuk diamalkan. Keberkatan ilmu adalah perkara yang sangat penting, sedikit yang berkat itu lebih baik daripada banyak yang kotor atau haram. Antara petua yang terkenal ialah apa yang pernah disebutkan oleh Imam Asy-Syafi'i. Katanya,

"Saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu melainkan dengan enam perkara;

1. Kecerdikan

2. 'Tamak' terhadap ilmu

3. Kesungguhan

4. Bekalan

5. Bimbingan guru

6. Berterusan"




Memandangkan pelajar juga merupakan manusia sepertimana pendidik, maka pelajar juga terdiri daripada empat unsur yang telah saya nyatakan dalam artikel sebelum ini. Unsur-unsur tersebut ialah roh, akal, nafsu dan jasad.

Dari sudut jasad, pelajar perlu menjaga kesihatan tubuhnya dengan baik khususnya anggota yang digunakan untuk belajar seperti otak, mata, telinga, mulut dan tangan. Penjagaan yang paling utama ialah pemakanan, pastikan ia halal dan baik (halalan toyyiban). Kedua-dua syarat ini mesti dipenuhi, sekiranya ia sekadar baik tetapi tidak halal, maka kualiti penerimaan ilmu akan merosot atau tiada langsung.

Sebagai contoh, Imam Asy-Syafi'i pernah menghadapi masalah untuk mengingati apa yang dipelajarinya, sedangkan beliau mempunyai ingatan yang sangat kuat sebelum itu. Beliau memeriksa apa yang tidak kena dengan dirinya yang menyebabkan terjadinya perkara itu. Kemudian beliau berjumpa dengan ibunya untuk mengetahui apa yang telah diberikan sebagai makanan kerana Imam Asy-Syafi'i hanya memakan makanan daripada ibunya. Setelah disiasat, maka ibunya menyatakan bahawa pada satu malam, lampu di rumahnya terpadam, sedangkan ibunya memerlukan cahaya kerana mengambil upah sebagai tukang jahit. Lalu, ibunya keluar mencari cahaya di luar rumah orang lain dan menumpang cahaya tersebut untuk menjahit. Lalu ibunya meminta halal daripada tuan rumah tersebut, kemudian ingatan Imam Asy-Syafi'i kembali seperti sediakala.

Tapi, orang sekarang tidak ramai yang prihatin dengan semua itu. Segala makanan yang syubhah ditelannya walaupun ada pihak yang mengingatkan, segala produk yang sepatutnya diboikot juga dibelinya kemudian dimakan tanpa sedikit pun rasa bersalah kepada umat Islam yang dibunuh dengan duit orang yang juga mengaku Muslim, tapi tiada berhati perut.

“BAGINDA S.A.W MENYEBUT PERIHAL SEORANG LELAKI YANG BERMUSAFIR JAUH, YANG BERAMBUT KUSUT MASAI DAN BERDEBU, IA MENADAH TANGAN KE LANGIT (IAITU BERDOA): "WAHAI TUHANKU! WAHAI TUHANKU!" BAGAIMANAKAH DOANYA AKAN DIMAKBULKAN SEDANGKAN MAKANANNYA HARAM, MINUMANNYA HARAM, PAKAIANNYA HARAM DAN DIA DIBERI MAKAN DENGAN MAKANAN YANG HARAM?”

(RIWAYAT MUSLIM)




Dari sudut emosi, pelajar mestilah sentiasa tenang dan bersedia untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Emosinya mesti seimbang supaya dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada pelajaran tanpa sebarang gangguan. Sebarang masalah peribadi atau luaran mesti diselesaikan dengan baik dan beradab. Mereka juga kasihkan gurunya, sahabat-sahabat seperjuangan, serta sesiapa sahaja yang menuju ke arah ilmu.


"Jadilah kamu orang yang berilmu atau yang menuntut ilmu atau yang mendengar ilmu atau yang mencintai (ketiga-tiga golongan tersebut), dan janganlah kamu menjadi orang yang kelima (selain empat tersebut), maka kamu akan binasa."

(Riwayat Al-Bazzar)


Dari sudut mental pula, akal mesti dipelihara dengan baik, inilah aset paling penting dalam penerimaan ilmu. Akal itu sendiri mesti dilatih supaya berfikir, sama ada secara kritis atau kreatif, lateral atau vertikal, seni atau sains, perlu seimbang antara kedua-duanya. Jangan biarkan ia karat sehingga tidak boleh digunakan lagi, jika rosak fungsi akal, muncullah fenomena jumud, taqlid buta dan lain-lain lagi. Sistem pendidikan masakini yang hanya membuatkan pelajar menghafal semata-mata, bukanlah sistem yang baik untuk akal. Ilmu bukan unuk peperiksaan, bukan untuk dihafal bagai kakak tua, tetapi ia untuk diamalkan dan digunakan dalam kehidupan seharian.

Organ pembantu akal iaitu otak juga mesti dijaga dengan baik, khususnya pemakanan dan penggunaan otak itu sendiri. Banyakkan memakan kismis, kurma, madu, omega-3 (ikan) dan lain-lain. Penggunaan otak secara melampau juga boleh merosakkannya dan melemahkannya, ia juga perlukan rehat. Antara amalan yang baik untuk menjaga fungsi otak ialah menghafal Al-Quran. Berdasarkan pemerhatian saya, orang yang menghafal Al-Quran mudah mempelajari sesuatu ilmu, adakalanya kelihatan seperti genius. Orang yang hafiz sangat sukar menjadi nyanyuk, insyaAllah.




Dari sudut rohani, keikhlasan adalah perkara utama. Tiada guna jika belajar dengan tujuan duit semata-mata. Bahkan golongan sebeginilah yang banyak merosakkan institusi kelimuan. Tambahan pula jika mereka ini terlibat dalam bidang berkaitan agama dan nyawa manusia. Orang yang hanya inginkan duit, mereka mahukan keputusan yang baik, sekalipun dengan cara yang haram dan batil, menipu, meniru.

Tanpa ilmu yang cukup, mereka mendapat kelulusan secara haram. Maka lahirlah kenyataan berkaitan agama dan nyawa dengan sebab duit dan kepentingan, bukan untuk menyelamatkan agama dan nyawa. Kembalilah pada niat dan objektif asal pendidikan, iaitu untuk menjadi hamba dan khalifah. Harta dan pangkat hanyalah medium pelaksanaan, bukan tujuan. Rohani yang gelap, menambah halangan ilmu untuk sampai ke hati dan jiwa. Jika kelihatan cerdik sekalipun, maka itulah istidraj, kelebihan yang Allah beri dengan tujuan merosakkannya, na'uzubillah...


Telah berkata Imam Asy-Syafi'i;

Aku mengadu kepada Waki', guruku.

Tentang kelemahan ingatanku.

Maka dia membimbing aku,

supaya meninggalkan segala dosa.

Dia juga memberitahuku bahawa,

ilmu itu adalah nur,

dan nur Allah itu,

tidak ditunjukkan kepada mereka yang melakukan dosa...





Bersambung...



.

3 comments:

ibn suhaimi™ said...

satu yang menarik, man yuriddillahi bihi khairan yufaqqihu fiddin..aw kama qal.

Akhirnya nanti ramai yang sedar dengan sistem pendidikan yang pelik di negara kita. Mudah2an penulis sering menyedarkan masyarakatnya. Allahumma aminn.

Malaysian Epic said...

rasanya sistem pendidikan kita terlalu kebaratan, dilihat penekanan unsur islam amat lemah sekali, harap dapat share link

http://malaysianepic.blogspot.com/

DEVOTEE said...

ya, sistem pendidikan sedia ada banyak yang pelik dan berunsurkan barat. kitalah yang perlu mengembalikannya semula. insyaAllah.. syukran =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...