SUMBER ILMU PERUBATAN BUKANLAH SAINS SEMATA-MATA










Menurut Ibnu Al-Baitar, iaitu seorang pakar botani dan herbologi Islam, dalam kitabnya yang bertajuk "Ad-Durrah Al-Bahiyyah, Fi Manafi'il Abdanil Insaniah", beliau telah menyatakan bahawa sumber ilmu perubatan ada tiga iaitu;

1. Ujikaji
2. Penemuan dan persepakatan.
3. Ilham

Ujikaji ialah proses penentuan ubat dengan mencubanya pada hidupan, melalui kaedah ini kita dapat mengetahui sifat-sifat herba tersebut dan juga tahap-tahapnya sama ada bersifat panas, sejuk, basah atau kering. Sifat-sifat tersebut dapat dikesan berdasarkan rasa herba tersebut dan juga kesannya terhadap badan. Selain daripada itu, sifat herba tersebut boleh juga dikesan dengan melihat warnanya, bentuk daunnya, durinya dan banyak lagi. Teknik ini digunakan juga dalam perubatan moden dengan menggunakan kaedah penilaian yang berbeza, iaitu secara kimia.

Penemuan dan persepakatan ialah peraturan-peraturan perubatan yang ditemui dan disepakati oleh orang-orang terdahulu dan dijadikan panduan dalam merawat. Contohnya ialah, bisa ular boleh dirawat dengan dagingnya dan begitulah juga untuk bisa haiwan-haiwan lain yang boleh juga dirawat dengan dagingnya sendiri. Peraturan-peraturan tersebut boleh dibuktikan semula dengan menggunakan teknik ujikaji.

Ilham ialah gerak hati yang Allah kurniakan kepada sesuatu hidupan sebagai panduan baginya untuk merawat dirinya sendiri. Ia boleh terhasil dalam beberapa bentuk, antaranya ialah;

1. Wahyu. Ilham yang tertinggi darjatnya ialah apa yang telah diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad dalam bentuk wahyu. Wahyu-wahyu ini kebanyakannya dikumpulkan oleh sesetengah ulama dalam pelbagai kitab, antaranya ialah kitab "At-Tibbun Nabawi" yang dikarang oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah.

2. Ilham kepada haiwan. Iaitu dengan memerhatikan cara-cara yang dilakukan oleh sesetengah haiwan apabila ditimpa sesuatu penyakit, atau memerhatikan herba yang digunakan oleh haiwan tersebut. Kaedah ini hampir sama dengan kisah Habil dan Qabil kerana burung gagak menjadi panduan dalam menyelesaikan kematian yang berlaku.

3. Ilham yang datang kepada sesetengah perawat apabila ia dapat memilih titik tertentu untuk berbekam atau memilih herba tertentu kepada pesakit melalui gerak hatinya. Untuk mendapat ilham yang sebegini, biasanya seseorang itu mestilah mencapai tahap kerohanian yang tinggi, iaitu dengan mendekatkan diri kepada Allah dan melakukan amal soleh.

4. Memerhatikan persamaan yang wujud antara herba tertentu dengan organ tertentu pada tubuh manusia. Dengan persamaan itu ia dapat menyimpulkan bahawa herba tersebut sesuai dengan organ itu. Contohnya ialah potongan lobak yang menyerupai mata, maka ia baik untuk mata. Bentuk daun pegaga yang menyerupai otak, maka ia baik untuk otak. Tumbuhan yang menumpang pada pokok tertentu lalu melayukan atau mematikan pokok yang ditumpangnya, maka ia baik untuk mengecutkan atau mengeringkan ketumbuhan atau kanser dalam badan.

Walaubagaimanapun, sumber-sumber ilmu perubatan selain sains tidaklah bertentangan dengan sains itu sendiri, bahkan perkara tersebut adalah mustahil kerana Tuhan Yang memiliki ilmu sains, Yang mencipta aturan alam ini, Yang memberikan ilham, Yang menurunkan wahyu, Yang mentakdirkan penemuan baru, Yang menciptakan penyakit dan ubatnya, adalah Tuhan yang sama, iaitulah Allah Yang Maha Pencipta.

Jika berlaku juga, itu bererti ada kesalahan pada salah satu, atau kedua-duanya, atau mungkin juga disebabkan belum ada penemuan yang lengkap mengenai sesuatu perkara. Percanggahan hakiki hanya akan berlaku apabila wujudnya Tuhan selain Allah, kerana setiap Tuhan itu akan mempunyai aturannya yang tersendiri.

"Sekiranya pada kedua-duanya (langit dan bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah, pastilah akan rosak binasa kedua-duanya. Maka Maha Suci Allah Yang memiliki 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan."

(Al-Anbiya' : 22)

Kesimpulannya, sumber ilmu perubatan bukanlah sains semata-mata, maka janganlah dinafikan peranan wahyu dan ilham yang benar sebagai salah satu sumber ilmu perubatan, bahkan wahyu lebih terjamin berbanding akal biasa yang selalu ada salahnya.


Wallahu'alam...

Mari sama-sama kita saksikan sebuah video yang menunjukkan beberapa herba yang ditemui secara ilham dan telah dibuktikan kebenarannya oleh sains.






0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...