بسم الله الرحمن الرحيم
Manusia terdiri daripada beberapa komponen. Komponen disebut juga sebagai struktur, manakala kajian berkaitan struktur dinamakan morfologi. Dalam pandangan sekular dan material, morfologi manusia hanya melibatkan komponen manusia yang bersifat material iaitu jasadnya. Jadi, urusan hidup manusia hanya tertumpu untuk memenuhi keperluan komponen material iaitu makanan dan minuman, maka manusia belajar untuk mencari kerja dan dengan pekerjaannya itu dia mendapat duit untuk membeli makanan dan minuman untuk dirinya atau keluarganya. Kehidupan yang sebegini tidak ubah bagai haiwan yang belajar memburu kemudian memburu dan makan hasil buruannya itu.
Hakikat komponen manusia adalah melangkaui batasan material, bahkan komponen material manusia iaitu jasadnya boleh dianggap sebagai komponen yang kurang penting kerana ia memiliki komponen lain yang jauh lebih penting, mulia dan tinggi daripada jasadnya. Komponen yang mulia dan tinggi itu ialah roh. Jadi, manusia yang normal mempunyai dua komponen iaitu roh dan jasad.
Roh merupakan hakikat manusia dan itulah bentuk asal manusia iaitu ketika ia berada di alam roh. Alam dunia merupakan alam yang rendah dan lemah. Roh manusia yang mulia itu tidak sesuai untuk berada secara langsung di alam dunia yang rendah ini, maka manusia dibaluti dan disarungkan dengan pakaian jasad yang lebih sesuai dengan alam dunia, kerana itulah jasad yang rendah ini boleh mengalami kelemahan dan kemusnahan, sedangkan roh manusia tetap dengan keadaannya walaupun seseorang itu sudah tua. Tidak pelik apabila ada yang mengatakan orang tua lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara berbanding orang muda kerana orang tua melakukan sesuatu dengan semangat rohnya yang bersifat kuat, sedangkan orang muda melakukan sesuatu dengan tenaga jasadnya yang bersifat lemah.
Roh
Roh manusia diberikan tiga kekuatan melalui akal dan nafsunya. Kekuatan pertama iaitu kekuatan "aqliyyah" terhasil daripada akalnya, kekuatan kedua iaitu kekuatan "ghadabiyyah" terhasil daripada nafsunya, dan kekuatan yang ketiga iaitu kekuatan "syahwaniyyah" juga terhasil daripada nafsunya. Inilah tiga kekuatan yang membantu roh dalam melakukan sesuatu perkara.
Tiga Kekuatan Roh
Kekuatan aqliyyah membuatkan seseorang manusia itu boleh menerima sesuatu maklumat dalam bentuk sentuhan, bau, rasa, cahaya dan bunyi. Kesemua maklumat ini secara umumnya boleh disebut sebagai ilmu yang mana dengannya manusia mempelajari pelbagai perkara. Kekuatan aqliyyah juga membuatkan seseorang manusia itu boleh berfikir, membuat pertimbangan dan memproses maklumat, begitulah juga dengan kemampuan mengingat sesuatu perkara. Peranan kekuatan ini yang terakhir ialah membuatkan seseorang itu dapat memutuskan sesuatu perkara lalu melakukan perkara tersebut, iaitu setelah ia berfikir dan memproses maklumat dengan baik. Orang yang mempunyai kekuatan aqliyyah yang tinggi merupakan seorang yang kuat berfikir, rasional dan dapat membuat pertimbangan serta kesimpulan dengan baik.
Kekuatan ghadabiyyah membuatkan seseorang itu boleh melakukan gerakan-gerakan tertentu menurut kehendaknya setelah ia berfikir atau mungkin juga ia melakukan sesuatu tanpa berfikir dengan baik. Kekuatan ini juga membuatkan seseorang itu dapat mempertahankan dirinya daripada musuh atau sesuatu yang tidak ia kehendaki. Orang yang mempunyai kekuatan ghadabiyyah yang tinggi merupakan seorang yang pemarah, kuat, tegas, aktif, mesra dan ego.
Kekuatan syahwaniyyah membuatkan seseorang itu mempunyai keinginan untuk makan dan minum. Selain itu, kekuatan ini juga membuatkan seseorang itu mempunyai rasa suka kepada jantina yang berlawanan serta keinginan untuk melakukan persetubuhan. Orang yang mempunyai kekuatan syahwaniyyah yang tinggi merupakan seorang yang tamak, penyayang, pasif dan pendiam.
Setiap kekuatan ini mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri, namun semua itu bukanlah hakiki kerana setiap sifat tersebut diperlukan oleh manusia dalam keseimbangan. Apabila Islam dihina, maka sifat marah mesti ada. Apabila melakukan kebaikan, maka sifat tamak perlu ada. Apa yang penting ialah kita pandai menggunakan kekuatan-kekuatan ini pada masa yang sesuai dengan kadar yang diperlukan.
Jasad
Adapun berkaitan komponen manusia yang kedua iaitu jasad, maka ia dibincang secara lanjut dalam bidang biologi atau perubatan. Walau bagaimanapun, pembahagian komponen jasad tidak banyak bezanya dengan komponen roh, bahkan jasad juga mempunyai bahagian aqliyyah, ghadabiyyah dan syahwaniyyah. Inilah dia komponen-komponen manusia iaitu roh dan jasad, kedua-duanya perlu diberi perhatian dan diberikan makanan yang secukupnya.
Wallahu'alam.





0 comments:
Post a Comment