KONSEP EMPAT UNSUR





بسم الله الرحمن الرحيم



Konsep empat unsur yang akan dibincangkan di sini adalah berdasarkan Perubatan Ibnu Sina atau lebih dikenali sebagai Perubatan Yunani (Unani Medicine), ia dibincangkan secara jelas dalam falsafah Yunani dan falsafah Islam.

Unsur atau arkan merupakan struktur paling kecil di alam dunia ini. Ia tidak boleh dibahagikan atau dipecahkan lagi kepada bahagian atau juzuk yang lebih kecil. Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa partikel elemen (elementary particle) seperti kuark, lepton dan boson merupakan struktur yang paling kecil, saya merasakan bahawa partikel-partikel tersebut akan berjaya dipecahkan kepada struktur yang lebih kecil.

Saintis terdahulu menyatakan bahawa atom merupakan struktur terkecil, namun hari ini perkara tersebut terbukti salah, menyatakan partikel elemen sebagai struktur paling kecil merupakan satu kesimpulan yang agak melulu.

Sains moden belum menemui unsur, boleh jadi terdapat berpuluh-puluh atau beratus-ratus peringkat lagi selepas partikel elemen sebelum saintis berjaya menemui arkan atau unsur ini, atau mungkin juga unsur ini akan terus menjadi misteri dan tidak ditemui oleh sesiapapun, hanya mampu dibincangkan secara konsep tanpa dibuktikan secara empirik.







JENIS UNSUR

Terdapat empat jenis unsur yang menjadi asas bagi segala struktur lain yang lebih besar, penggabungan dan kepelbagaian jumlah keempat-empat unsur ini menghasilkan pelbagai struktur yang lebih besar dan saling berbeza. Empat unsur tersebut ialah unsur tanah, air, angin dan api.

UNSUR TANAH : Unsur tanah merupakan unsur yang berada di tengah-tengah atau bulatan pertama. Ia bersifat sejuk dan kering.

UNSUR AIR : Unsur air merupakan unsur yang berada pada bulatan kedua iaitu di antara unsur bumi dan angin. Ia bersifat sejuk dan basah.

UNSUR ANGIN : Unsur angin merupakan unsur yang berada pada bulatan ketiga iaitu di antara unsur air dan api. Ia bersifat panas dan basah.

UNSUR API : Unsur api merupakan unsur yang berada pada bulatan keempat iaitu selepas unsur angin. Ia bersifat panas dan kering.

Setiap unsur ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri pada bulatannya, sebarang perubahan kedudukannya yang disebabkan oleh tenaga daripada luar akan menyebabkan unsur itu kembali ke tempat asalnya menurut susunan berat bagi setiap unsur. Susunan berat bagi unsur-unsur mengikut tertib paling ringan dimulakan dengan unsur api, kemudian unsur angin, unsur air dan akhirnya unsur tanah sebagai unsur paling berat.

Dua unsur yang paling ringan iaitu unsur api dan angin banyak membantu tubuh untuk tujuan pembinaan ruh, pergerakannya dan pergerakan organ, manakala dua unsur yang paling berat iaitu unsur tanah dan air banyak membantu tubuh untuk tujuan pembinaan organ dan kestabilannya.



UNSUR KELIMA

                Selain daripada empat unsur yang telah disebutkan, terdapat konsep unsur yang kelima, iaitu satu unsur yang sangat seimbang dan tidak mengalami perubahan atau kemusnahan. Disebabkan keseimbangannya itu, ia tidak diambil kira secara khusus dalam Perubatan Yunani, sebaliknya ia dikaitkan dengan alam atau makhluq lain yang bersifat mulia dan tinggi. Unsur kelima ini lebih dikenali sebagai “aeter” (aether). Ia sering dikaitkan dengan kesempurnaan, roh dan semangat.

Dalam Perubatan Ayurveda (Ayurvedic Medicine), terdapat juga konsep lima unsur. Unsurnya adalah sama seperti unsur dalam Perubatan Yunani dan ditambah dengan unsur akasha (aeter) sebagai unsur yang kelima. Dalam Fizik Partikel, sifat keseimbangan ini sering dikaitkan dengan boson Higgs yang dikenali juga sebagai Partikel Tuhan (God Particle), boson ini dikatakan seimbang dan tiada caj iaitu neutral, walau bagaimanapun boson ini belum berjaya dibuktikan.

Suatu masa dahulu, misteri unsur kelima ini pernah juga dikaitkan dengan tenaga “orgon” (orgone energy). Sistem Perubatan Cina Tradisional (Traditional Chinese Medicine) juga menggunakan konsep lima unsur, tetapi ada sedikit perbezaan dengan konsep lima unsur dalam Perubatan Yunani atau Ayurveda, unsur-unsur tersebut ialah kayu, api, tanah, besi dan air.




SIFAT UNSUR

                Seperti yang telah dijelaskan, setiap unsur mempunyai dua sifat. Dua sifat yang ada pada unsur dinamakan sebagai “kualiti primer”, iaitu panas, sejuk, kering dan basah. Sifat panas dan sejuk dikenali juga sebagai sifat aktif, makala sifat kering dan basah dikenali juga sebagai  sifat pasif. Hal ini adalah kerana sifat aktif menghasilkan sifat pasif, sifat panas menghasilkan sifat kering, manakala sifat sejuk menghasilkan sifat basah. Jadi sifat panas dan sejuk merupakan sifat yang paling utama dan paling memberi kesan kepada tubuh.

Apabila unsur bergabung dan menghasilkan struktur baru yang lebih besar, maka struktur baru itu akan mempunyai sifatnya yang tersendiri. Namun sifat struktur baru itu bergantung kepada sifat unsur-unsur yang membentuknya. Sifat struktur baru yang lebih besar ini dinamakan sebagai mizaj.

Kepelbagaian bilangan unsur dalam membentuk struktur baru yang lebih besar menghasilkan kepelbagaian jenis mizaj, terdapat sembilan jenis mizaj yang boleh terhasil iaitu;

          1.       Seimbang
          2.       Panas
          3.       Sejuk
          4.       Kering
          5.       Basah
          6.       Panas Dan Kering
          7.       Panas Dan Basah
          8.       Sejuk Dan Kering
          9.       Sejuk Dan Basah

Keseimbangan mizaj bukanlah bererti wujud satu sifat baru yang dinamakan “seimbang” tanpa mempunyai sifat panas, sejuk, basah atau kering. Tetapi ia bermaksud keseimbangan antara keempat-empat sifat tersebut. Walau bagaimanapun, menurut Aristotel, unsur kelima iaitu aeter mempunyai mizaj seimbang tanpa mempunyai salah satu sifat yang empat.

Keseimbangan mizaj bagi manusia dari sudut perubatan tidak semestinya bermaksud keseimbangan mutlak antara keempat-empat sifat tersebut, bahkan keseimbangan mizaj bagi manusia secara umum ialah panas dan basah. Kerana itulah dikatakan bahawa penduduk di kawasan khatulistiwa yang mengalami cuaca panas dan lembap sepanjang tahun sebagai golongan yang paling seimbang mizajnya jika dibandingkan dengan penduduk-penduduk di kawasan lain.

Selain faktor kawasan dan cuaca, keseimbangan seseorang individu juga ditentukan oleh akhlaq, jantina, pekerjaan, bangsa, umur dan pelbagai perkara lain. Oleh itu, perawat perlu peka dengan semua aspek diri pesakit agar perawat tersebut dapat memberikan rawatan yang sesuai menurut keadaan dan keperluan semasa.

                Menurut Imam Az-Zahabi dalam kitabnya At-Tibb An-Nabawi, beliau menyatakan bahawa mizaj yang paling seimbang dalam kalangan haiwan ialah manusia (haiwan natiq / thinking animal). Mizaj yang paling seimbang dalam kalangan manusia ialah para mukmin, kemudian para nabi, kemudian para rasul, kemudian para rasul Ulul ‘Azmi yang lima, kemudian Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW, Baginda memiliki sebaik-baik mizaj tubuh kerana mizaj tubuh dipengaruhi oleh akhlaq seseorang itu. Jadi, Baginda yang memiliki sebaik-baik akhlaq, maka selayaknya Baginda jugalah yang mempunyai sebaik-baik mizaj dalam kalangan makhluq-makhluq Allah.

SURAH NAU’IYYAH / BENTUK SUSUNAN  (صورة نوعية)

Selain daripada sifat-sifat ini, gabungan pelbagai unsur juga boleh menghasilkan karakter (‘aradh) jenis lain iaitu “surah nau’iyyah”. Surah nau’iyyah ialah bentuk susunan unsur. Analoginya adalah seperti penyusunan ketulan-ketulan bata dengan pelbagai cara yang berbeza.

Perbezaan bentuk susunan unsur atau atom memainkan peranan yang sangat penting dalam ilmu perubatan khususnya dalam bidang farmakologi, farmakognosi dan herbologi, kerana setiap perbezaan bentuk susunan memberikan kesan yang berbeza kepada tubuh.




KAITAN ANTARA ARKAN DAN MIZAJ DENGAN SAINS SEMASA

Dalam Perubatan Yunani, kefahaman mengenai keempat-empat unsur ini memainkan peranan yang sangat penting dalam perawatan, kerana konsep struktur yang paling kecil pada masa dahulu bergantung sepenuhnya pada konsep arkan ini. Setelah muncul ilmu sains moden khususnya ilmu kimia, maka peranan konsep unsur semakin kurang mendapat perhatian, sebaliknya proses merawat banyak bergantung pada konsep kimia, khususnya berkaitan struktur kimia ubat-ubatan.

Walau bagaimanapun, konsep unsur masih relevan untuk digunapakai kerana banyak persamaan konsep ini dengan beberapa konsep sains moden. Antaranya ialah konsep panas-sejuk dan basah-kering.

Sifat panas boleh kita gantikan dengan konsep tenaga (energy) atau caj negatif manakala sifat sejuk boleh digantikan dengan konsep daya (force) atau caj positif. Basah dan kering pula merujuk kepada konsep kepadatan, ketumpatan atau tekanan, sifat basah mewakili ketumpatan (dense), sifat kering mewakili kelonggaran (loose).

Ada pihak yang menggunakan istilah tenaga untuk kekuatan yang membuatkan sesuatu itu bergerak secara aktif, istilah daya pula digunakan untuk kekuatan yang bersifat pasif dan menghentikan sesuatu gerakan. Pada hakikatnya, kedua-duanya ialah tenaga yang aktif. Hal ini adalah kerana istilah tenaga merujuk kepada kekuatan yang menarik objek manjadi semakin jauh daripada pusat bulatan, jadi ia kelihatan aktif dan bersifat memecahkan.

Istilah daya pula merujuk kepada kekuatan yang menarik objek ke arah pusat bulatan, jadi ia kelihatan pasif dan bersifat mencantumkan. Oleh itu, kedua-duanya pada hakikatnya adalah tenaga, satu menarik ke arah luar, manakala satu lagi menarik ke arah dalam.

Sifat panas berkait dengan pusingan arah jam, manakala sifat sejuk berkait dengan pusingan arah tawaf iaitu arah lawan jam.



Jika kita bandingkan dengan konsep elektromagnetik, ia merupakan keseimbangan dan gabungan konsep panas dan sejuk. Elektromagnetik jika dipecahkan kepada dua akan menghasilkan konsep elektrik dan magnetik. Elektrik mewakili konsep panas kerana ia bersifat memecahkan dan merosakkan, manakala magnetik pula mewakili konsep sejuk kerana ia bersifat membina dan mencantumkan.




       Pendek kata, konsep panas dan sejuk ini wujud pada setiap objek dan menjadi asas bagi hukum sunnatullah di alam ini. Konsep sejuk pada peringkat nukleus atom dinamakan daya nuklear kuat (strong nuclear force) dan daya nuklear lemah (weak nuclear force), pada peringkat atom dinamakan elektromagnetisme atau caj, pada peringkat molekul batuan dinamakan magnetisme dan untuk peringkat yang lebih besar seperti planet dan galaksi dinamakan graviti. Namun, pada hakikatnya semua itu merupakan hasil elektromagnetik ataupun panas dan sejuk.

                Konsep empat unsur menepati konsep keadaan jirim (states of matter) iaitu keadaan pepejal mewakili unsur tanah, keadaan cecair mewakili unsur air, keadaan gas mewakili unsur angin dan keadaan plasma mewakili unsur api.

               Konsep empat unsur juga menepati konsep keperluan tubuh manusia iaitu haba dan sinaran UV mewakili unsur api, oksigen mewakili unsur angin, air minuman mewakili unsur air dan nutrien mewakili unsur tanah.

        Caj elektrik yang terlibat dalam sistem saraf boleh dianggap sebagai sifat panas kerana ia bercaj negatif dan mempunyai ciri-ciri unsur api seperti aktif, bersifat menghancurkan dan kadar elektrik yang terlalu tinggi mampu memberi kesan kebakaran. Dalam Perubatan Yunani sendiri, apabila berlaku masalah pada aliran elektrik saraf seperti lumpuh, maka ia dikatakan berpunca daripada sesuatu yang bersifat sejuk, manakala masalah yang melibatkan terlebihnya fungsi aliran saraf seperti terketar-ketar, maka ia dianggap sebagai terlebih sifat panas.

          Selain itu, lapisan-lapisan bumi juga menepati konsep empat unsur, lapisan tanah yang bersifat pepejal mewakili unsur tanah dan dinamakan litosfera, lapisan air laut dan sungai yang bersifat cecair mewakili unsur air dan dinamakan hidrosfera, lapisan udara yang bersifat gas mewakili unsur angin dan dinamakan atmosfera, dan lapisan yang paling luar iaitu lapisan ion yang bersifat plasma mewakili unsur api dan dinamakan ionosfera.








Wallahu'alam.




.

9 comments:

Muhammad Iqbal said...

Subhanallah, mantapnya!

Saya cadangkan lepas dah banyak tulisan macam ni, boleh la bukukan supaya manfaatnya lebih luas untuk orang lain.

Inilah satu pencerahan perubatan yang dinanti-nantikan. Lama betul abg kaji noh, berbaloi sungguh.

Saya ada satu soalan, Imam az-Zahabi pun tulis jugak ka Tibb an-Nabawi atau orang yang sama saja dengan Ibnu Qayyim.

Nice job. Thumbs up ^^

DEVOTEE said...

Sedang menulis sebuah risalah mengenai asas-asas ilmu perubatan, integrasi perubatan ibnu sina dan perubatan moden, akan diterbitkan dalam masa beberapa bulan lagi, insyaAllah. Doakan noh..

Selain Imam Ibnul Qayyim, banyak lagi imam-imam lain yang tulis kitab hadis perubatan dengan nama yang sama iaitu "At-Tibb An-Nabawi". Antaranya ialah Imam Az-Zahabi, As-Suyuti, Abu Nu'aim Al-Asfahani dan Dhiyauddin Al-Muqaddasi. Wallahu'alam. Syukran Iqbal.



SOLUSI CERDAS MEMILIH OBAT HERBAL SAKIT PINGGANG said...

Wahhh..nambah ilmu nich...mudah-mudahan bermanfaat amin...

SOLUSI CERDAS MEMILIH OBAT HERBAL SAKIT PINGGANG said...

Manfaaynta banyak mudah-mudahan semuanya bisa menjadi renungan

almomentum said...

insyaAllah..

Muhammad Adli Abdul Aziz said...

Assalamualaikum Warahmatullah

Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah

Tahniah tuan kerana berjaya menerbit sebuah buku baru... tapi buku tu memang tak jual kat Malaysia yer..

Nampaknya tuan sekarang tengah kemaskini blog tuan. Tapi kenapa komen saya pun dibuang juga yer.

Bukan apa.. nanti kalau nak bincang lanjut tentang perkara yang saya tanyakan senang nak rujuk..

almomentum said...

Wa'alaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh.

Terima kasih atas ucapan saudara. Saya minta maaf kerana telah memadam komen-komen terdahulu.

Saya tiada sebarang niat lain melainkan atas dasar kejujuran terhadap ilmu. Saya tidak yakin dengan apa yang telah saya nyatakan sebelum ini, jadi saya rasa tidak patut saya biarkan ia begitu sahaja. Sekiranya ia tidak benar maka sayalah yang bertanggungjawab ke atasnya.

Lagipun perbincangan sebegitu merupakan salah satu tajuk yang agak kontroversi sesama ulama terdahulu. Jadi, lebih baik saya berdiam diri melainkan setelah saya yakin dan mempunyai hujah yang yakin. Perbincangan sebegitu juga kurang sesuai untuk bacaan umum kerana ia mungkin menimbulkan fitnah dan salah faham.

Tidak perlu saudara panggil saya 'tuan' kerana saya hanyalah manusia biasa yang tidak punya apa-apa melainkan semuanya adalah milik-Nya. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Mungkin kita boleh teruskan dengan perbincangan tajuk-tajuk lain, insyaAllah.

Wallahu'alam. Asif jiddan..

almomentum said...

Sedikit tambahan. Buku itu belum dijual di Malaysia,jika sudah ada di Malaysia saya akan maklumkan dalam blog ini, ataupun boleh juga rujuk Facebook saya.

https://www.facebook.com/nasiruddinsobri

Anonymous said...

assalamualaikum..
tima kasih atas ilmunya..n didoakan akh sentiasa bertambah ilmunya utk dikongsi2 bersama..dan jgak istiqamah dlm penulisan ini..aminnn ya rab..:)♡