KESAN PLASEBO DAN UBAT



Bismillahirrahmanirrahim.

Apakah sebenarnya yang menjadi wasilah atau mekanisme utama yang membawa seseorang itu kepada kesembuhan? Adakah ia hanya disebabkan oleh ubat-ubatan? Adakah ia hanya disebabkan oleh herba-herba? Atau adakah kesembuhan itu hanyalah suatu kebetulan?

Untuk menjawab persoalan ini, pertamanya kita perlu kembali kepada aqidah yang sebenar, iaitu Allah sebagai Pentadbir dan Penentu sebenar bagi segala sesuatu yang berlaku. Seterusnya, Allah tidak menjadikan pergerakan alam ini sebagai sesuatu yang rawak atau kebetulan tanpa sebab dan asbab yang khusus sepertimana yang didakwa oleh para pendokong teori evolusi. Oleh itu, sudah menjadi sunnatullah bahawa wujud sebab bagi segala sesuatu yang berlaku meskipun pada hakikatnya ia ditentukan oleh Allah yang kemudiannya dimanifestasikan ke alam ini sebagai memenuhi hukum sebab dan akibat yang telah Allah tetapkan.

Terdapat satu kisah yang menarik dalam hal ini, sebuah kisah yang dinyatakan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitab "At-Tibb An-Nabawi", ia merupakan dialog antara Nabi Ibrahim dengan Allah Tuhan sekalian alam.

Nabi Ibrahim : Wahai Tuhanku, daripada siapakah penyakit?
Allah : Daripada Aku.
Nabi Ibrahim : Maka daripada siapakah ubatnya?
Allah : Daripada Aku.
Nabi Ibrahim : Maka apa gunanya perawat?
Allah : Ia merupakan orang yang pada tangannya diturunkan ubat.

Persoalan yang seterusnya ialah apakah sebab-sebab yang telah Allah tentukan sebagai wasilah atau mekanisme bagi sesuatu yang berlaku khususnya dalam konteks perbincangan kita iaitu kesembuhan. Sesetengah orang hanya menerima kaedah mencari kesembuhan dengan ubat-ubatan kerana mungkin mereka menyangka bahawa kesembuhan itu mestilah dengan sebab yang zahir pada pancaindera yang lima. Namun, pemikiran sebegini bukanlah sesuatu yang benar, bahkan tertolak menurut kajian sains sekalipun.

Suatu masa dahulu, mungkin ramai yang menyangka bahawa sesuatu yang abstrak dan tidak dapat dikesan oleh pancaindera, tidak mampu memberi kesan kepada sesuatu yang zahir atau material. Tetapi, sains sudah membuktikan bahawa kesan perkara yang abstrak terhadap perkara material seperti tubuh manusia, bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan adakalanya ia boleh memberi kesan kepada perkara material mengatasi kesan ubat-ubatan. Inilah yang dikatakan sebagai kesan plasebo.



"Kesan plasebo" merupakan istilah bahasa inggeris yang wujud secara berpasangan iaitu "placebo effect" dan "nocebo effect". Placebo effect bererti "kesan positif yang berlaku apabila seseorang itu berfikiran positif", manakala nocebo effect pula bererti "kesan negatif yang berlaku apabila seseorang itu berfikiran negatif". Perkara ini telah dibuktikan dengan jayanya dalam bidang farmakologi khususnya, dan beberapa bidang lain secara amnya.

Dalam bidang farmakologi, apabila sesuatu bahan baru ingin diuji kesannya, dua orang pesakit akan diuji dengan cara salah seorang diberi bahan baru tersebut, manakala seorang lagi diberi bahan biasa yang bukan ubat tanpa kedua-dua pesakit tersebut diberitahu apakah bahan sebenar yang mereka terima. Hasilnya, sama ada kesan plasebo yang terhasil daripada bahan biasa tadi menyamai kesan ubat, atau kurang, atau lebih baik. Dalam bidang fisiologi pula, seseorang yang tertekan emosinya boleh menyebabkan sistem endokrin menghasilkan hormon kortisol yang boleh menyebabkan lambatnya proses kesembuhan, atau yang lebih teruk ialah menyebabkan penyakit jangkitan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Hormon ini mempunyai banyak kesan negatif, antaranya ialah membuatkan sel-sel imuniti tidak berkeliaran di seluruh tubuh, sebaliknya 'bersembunyi' di dalam kelenjar limfatik, kemudian sebarang bakteria yang sedia ada pada tubuh atau yang baru datang akan dapat menyerang tubuh tanpa dilawan oleh sistem imuniti.

Perkara ini bersesuaian dengan firman Allah dalam sebuah hadis qudsi;

" Aku adalah berdasarkan apa sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Jika ia bersangka baik, maka itulah untuknya. Dan jika ia bersangka buruk, maka itulah untuknya..."

(Hadis Qudsi Riwayat Ahmad)

Maka dengan sebab itu, tidak hairanlah jika Perubatan JAWI meyakini bahawa 90% daripada kesembuhan adalah disebabkan oleh faktor abstrak seperti spiritual, mental dan emosi. Manakala 10% yang berbaki barulah disandarkan kepada faktor material seperti ubat-ubatan atau rawatan. Jelas sekali di sini tentang kepentingan penjagaan aspek spiritual seperti ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai amalan soleh khususnya solat, doa, Al-Quran, zikir, selawat dan sedekah.

Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian orang yang memperlekeh atau memandang rendah kepada kesan plasebo, bahkan menganggap kesembuhan dan rawatan yang bersifat plasebo sebagai bukanlah jenis rawatan yang sebenar kerana tiada ukuran zahir yang boleh diukur dengan tepat dosnya.

Pemikiran sebegini bolehlah kita sanggah dengan mengatakan bahawa tujuan rawatan yang sebenar bukanlah untuk menggunakan ubatan zahir yang boleh diukur dosnya, tetapi adalah untuk mendapatkan kesembuhan. Oleh itu, apa-apa sahaja yang boleh membawa kepada kesembuhan bolehlah diterima sebagai rawatan selagimana ia tidak bertentangan dengan syarak.

Golongan ini juga sebenarnya boleh dikatakan sebagai kurang rasional kerana apa perlunya lagi untuk mengambil ubatan material sekiranya 'ubatan' rohani sudah cukup untuk merawat, bahkan ia adalah percuma, mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang.

Dari sudut yang lain pula, orang yang menggunakan ubatan material untuk rawatan adalah lebih lemah jika dibandingkan dengan orang menggunakan kawalan dan keseimbangan psikologi serta rohaninya. Kenapa begitu? Kerana orang yang menggunakan kekuatan rohani itu mampu melakukan sesuatu yang melibatkan perkara material hanya dengan menggunakan tenaga spiritual, manakala orang yang menggunakan bahan material untuk perkara material, maka itu merupakan perkara biasa dan normal.

Dalam hal ini, peranan seorang perawat tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai pembantu kepada sistem sedia ada yang wujud dalam tubuh pesakit yang dinamakan oleh ahli perubatan masa kini sebagai 'homeostasis' atau self healing, seperti yang dikatakan oleh pakar perubatan terdahulu iaitu Galen;

"Seorang perawat adalah pembantu kepada sistem tubuh yang sedia ada."

Ini bererti tubuh kita kita sudah mempunyai sistem rawatan yang sangat sempurna untuk membuang racun atau melawan jangkitan. Perkara ini terbukti dengan sangat jelas dalam kajian mengenai sistem imuniti, sistem autonomik dan juga sistem metabolisme tubuh. Bahkan, saya juga meyakini bahawa sebagaimana tekanan perasaan boleh membawa kepada penyakit melalui 'racun semulajadi' kortisol, begitu jugalah tubuh dapat menghasilkan 'ubat semulajadi' apabila seseorang itu berada dalam ketenangan dan kebahagiaan. Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan kajian sains masih banyak cacatnya dan mungkin akan menemui mekanisme rawatan semulajadi suatu hari nanti, insyaAllah.

Peranan perawat dalam hal ini sangat besar, khususnya dalam membangkitkan keyakinan kepada pesakit dengan meletakkan harapan kepada Allah Asy-Syafi, dan untuk membuatkan pesakit tenang dengan melahirkan rasa redha terhadap musibah yang menimpa. Seorang perawat yang pakar ialah perawat yang mampu membawa kepada kesembuhan hanya dengan mengawal psikologi dan rohani pesakit atau pengurusan diri yang asas, jika tidak mampu, barulah berpindah kepada ubatan material. Ini bersesuaian dengan apa yang telah dikatakan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitabnya "At-Tib An-Nabawi" ;

"Para perawat telah bersepakat bahawa selagimana rawatan boleh dilakukan dengan makanan, maka tidak perlu kepada ubatan, selagimana boleh dilakukan dengan ubatan yang ringkas, maka tidak perlu kepada ubatan yang kompleks."


Allahumma Ya Syafi, isyfi mardhona wa mardhol muslimin...


Wallahu'alam.



HIPOKRIT vs MUNAFIQ vs MUJAHADAH





Perkataan hipokrit dan munafiq sering digunakan dengan makna yang sama, sedangkan secara kaedah bahasanya kedua-duanya ada perbezaan. Kedua-dua istilah ini biasanya digunakan dengan tujuan negatif, biasanya digunakan untuk seorang yang jahat, tetapi berpura-pura baik.

Secara tepatnya, hipokrit adalah lebih umum maknanya daripada munafiq. Hipokrit bermaksud sikap seseorang yang secara zahirnya tidak sama dengan pendiriannya yang sebenar. Sedangkan munafiq pula bererti sikap seseorang yang secara zahirnya adalah baik atau berlandaskan Islam, pada hakikatnya pendiriannya bukanlah begitu.

Ini bererti, orang yang terpaksa bersikap jahat secara zahir, sedangkan ia baik, juga disebut sebagai hipokrit, kerana hipokrit tidak mengkhususkan sama ada pendirian yang sebenar orang itu adalah baik atau jahat, yang penting zahirnya tidak sama dengan pendirian sebenar. Contoh mereka yang zahirnya jahat tetapi sebenarnya baik ialah mereka yang terpaksa mengaku dengan lidah bahawa ia kafir kerana ingin menyelamatkan nyawa, sedangkan hatinya masih Islam dan tidak melafazkan kekufuran itu dengan sengaja atau redha.

Isu utama yang ingin saya bawakan pada kali ini ialah penyalahgunaan istilah munafiq atau hipokrit kepada orang yang ingin berubah daripada jahat kepada baik. Kita juga akan melihat kaitan isu ini dengan mujahadah.

Apa yang perlu kita jelas ialah apabila seseorang yang tidak baik ingin berubah kepada baik, itu bukannya ia menyalahi pendirian dirinya yang sebenar, bahkan ia sedang kembali kepada fitrahnya yang sebenar, kembali pada dirinya yang asal. Manusia ketika di alam roh telah mengakui Allah sebagai tuhan. Menjadikan Allah sebagai tuhan bererti menuruti segala perintah-Nya dengan taat dan patuh, atau dalam istilah yang ringkas ialah perlu menjadi baik.

Jadi, orang yang berubah kepada baik adalah sedang kembali pada dirinya yang sebenar, sedangkan orang yang melakukan kejahatan itulah yang sebenarnya menyalahi pendiriannya yang sebenar, iaitu perjanjian untuk menjadi baik ketika di alam roh dahulu.

Kemudian, kita lihat pula kaitan munafiq dan mujahadah. Munafiq bererti bertindak baik, tapi jahat sebenarnya. Contohnya ialah Abdullah bin Ubai dan pengikutnya yang berpura-pura mengamalkan Islam seperti solat, tapi secara hakikatnya mereka bencikan Islam dan sentiasa menyusahkan umat Islam seperti mendirikan Masjid Dirar untuk memecah belahkan umat Islam, menyebarkan fitnah kepada Nabi dan juga menghasut orang Islam supaya tidak pergi berperang.




Adapun orang yang pernah melakukan kejahatan dan ingin kembali ke pangkal jalan, mereka sebenarnya sudah berubah pendiriannya daripada jahat kepada baik. Apabila mereka mula melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, mereka tidak boleh dikatakan sebagai munafiq kerana apa yang mereka lakukan itu adalah baik dan selari dengan pendiriannya yang baru, iaitu ingin menjadi baik. Sedangkan munafiq bererti tindakannya baik, hatinya jahat.

Namun, adakalanya orang tersalah sangka dan tidak dapat membezakan antara munafiq dan mujahadah. Ada yang menyangka bahawa apabila seseorang itu terpaksa bersusah payah dalam melakukan perubahan, itu adalah suatu kemunafikan. Dengan sebab kesusahan itu, maka orang yang tidak memahami konsep munafiq mengatakan bahawa itu adalah paksaan terhadap diri sendiri dan mereka meminta orang itu supaya "be yourself". Realitinya, orang itu sudah berubah pendiriannya (theirself / dirinya yang baru) kepada baik, dan dia juga sedang berusaha untuk bersikap baik, ini bererti pendiriannya dan sikapnya adalah selari, ini tidak menepati definisi munafiq.

Orang tersebut sudah baik hatinya dan perbuatannya, apa yang ia hadapi sekarang ialah kesusahan. Kesusahan tidak bererti munafik. Kesusahan dalam berubah dan melakukan kebaikan disebut sebagai mujahadah. Pada asalnya tiada masalah untuk manusia berubah hati dan terus bersikap baik, namun, Allah kurniakan kita nafsu. Nafsu inilah yang membuatkan kita berat untuk bersikap baik meskipun hati kita telah bertekad untuk jadi baik.

Jika anda ingin berjaya dalam peperiksaan, kemudian anda belajar bersungguh-sunguh, memaksa diri dan bersusah payah, adakah itu disebut munafik? Tidak, bahkan itu adalah mujahadah bagi mereka yang malas belajar. Bagi yang sudah mendidik nafsunya, itu bukanlah sesuatu yang susah, kerana dirinya dan nafsunya sudah selari untuk mentaati Allah.

Kesimpulannya, jika hati kita berubah dan sudah bertekad untuk menjadi baik, kemudian kita bertindak dalam keadaan memaksa diri dan kesusahan, itu bukanlah kemunafikan, itu adalah mujahadah kerana nafsu kita yang keras sebelum ini sedang cuba dilembutkan...

Wallahu'alam.


.

REALITI PENYAKIT MASA KINI (3)



Artikel kali ini merupakan sambungan bagi artikel terdahulu, ia merupakan terjemahan artikel oleh Syeikh Nazim Al-Qubrusi Al-Haqqani yang bertajuk "PERAWATAN ALAMIYYAH". Beliau merupakan seorang ulama pakar Syariah dan juga menguasai ilmu Kejuruteraan Mekanikal dan Kimia. Semoga Allah merahmati beliau...

Jika anda ingin membaca siri 1 dan 2 sebelum membaca siri ketiga ini, rujuk pautan berikut;






Dengan autoriti yang saya ada, saya menasihatkan semua manusia agar mendengar kalam-kalam Tuhan. Jika mereka tidak mendengar dan tidak patuh, bala tersebut akan turun kepada mereka dan tidak akan ada rawatan serta ubat bagi mereka. Tidak akan ada kegembiraan dan rehat bagi tubuh, minda dan hati mereka.

Ini termasuklah juga supaya mendengar daripada Rasul yang dicintai-Nya, Sayyidina Muhammad, sejahtera ke atas Baginda. Allah Yang Maha Besar telah mengajarkan Baginda setiap jenis rawatan. Setiap penyakit telah diketahui dengan baik oleh Penutup Para Nabi dan Baginda telah diberikan ilmu dari 'langit' berkaitan ubatan dan rawatan bagi setiap penyakit.

Kami menasihatkan agar menggunakan beberapa rawatan ketuhanan ini, hanya ubatan yang mudah, ubatan alamiyyah, kerana tubuh kita adalah milik alam dan kesembuhannya hanya boleh datang melalui ubatan alamiyyah. Setiap benda yang direka oleh manusia yang muncul pada hari ini adalah melawan fitrah kemanusiaan. Oleh itu ia mesti dihentikan! Setiap ubatan yang direka dan sintetik adalah melawan fitrah struktur kita dan oleh itu ia mesti dihentikan. Ia membahayakan dan merosakkan struktur tubuh kita. Manusia abad ke-20 telah hilang kesabaran mereka. Manusia sudah tiada lagi kesabaran. Mereka inginkan rawatan yang cepat, dan rawatan dengan ubatan alamiyyah mengambil masa, tetapi manusia sudah tiada kesabaran, mereka inginkan agar kesakitan dan penderitaan mereka berakhir dengan cepat. Jadi mereka mahukan ubatan baru yang sintetik dan kuat, dan tidak penting bagi mereka sekiranya ubatan itu merosakkan tubuh mereka. Apa yang mereka fikir hanyalah untuk menghentikan kesakitan dan penderitaan dengan cepat.

Sebuah nasihat penting untuk orang yang sakit : "Supaya bersabar secukupnya untuk menggunakan ubatan alamiyyah". Ubat-ubatan alamiyyah ini telah digunakan selama berabad-abad sejak permulaan kehidupan di muka bumi. Kebanyakannya telah diajarkan kepada manusia melalui ilham, para Nabi dan para Rasul. Ia telah disempurnakan oleh penutup para Nabi, Sayyidina Muhammad, sejahtera ke atas Baginda.

Manusia juga mesti menjaga tubuhnya agar selamat. Melakukan perkara ini (menggunakan ubatan alamiyyah), adalah untuk mengelakkan setiap benda yang membahayakan tubuh kita. Setiap perkara yang membahayakan tubuh fizikal kita telah dinyatakan dalam risalah ilahiyyah, ilmu ilahiyyah, nasihat ilahiyyah dan rawatan ilahiyyah. Kamu mesti menjaga aturan-aturan ini dan mengelakkan daripada setiap perkara yang merosakkan dan membahayakan, yang telah ditulis dalam Kitab Suci dan yang telah dilarang oleh Allah Yang Maha Besar. Selagimana kamu melakukan bertentangan dengan perkara ini, kamu akan dihukum dan tiada rawatan.

Penyakit tidak pernah datang tanpa suatu sebab : sama ada ia sebagai satu hukuman untuk menjadikan orang itu taat, atau untuk menunjukkan rawatannya kepada orang lain. Dan oleh itu, sesiapa yang meminum arak mesti dihukum. Setiap minuman yang membahayakan tubuh adalah dilarang dan tidak patut diminum. Sesiapa yang bertentangan dengan ini dan berkata, "Oh, hanya sedikit sahaja...", akan dihukum (mendapat mudarat) sedikit. Jika seseorang itu meminum racun sedikit, ia akan menderita sedikit. Jika ia meminum lebih, ia akan menderita lebih. Ini adalah kerana perkara-perkara yang dilarang adalah racun kepada rohani dan jasmani.

Jika sesiapa merokok, ia mesti dihukum. Jika hanya sedikit, ia mesti dihukum sedikit. Jika terlalu banyak, hukumannya adalah sangat besar.

Jika seseorang itu memakan babi dan bangkai, itu akan membahayakan tubuhnya, ia mesti dihukum.

Jika seorang lelaki dan seorang perempuan melakukan perkara yang salah : sekali, dua kali, tiga kali, sesuatu perkara mungkin akan menyerang kedua-duanya dan mereka akan dihukum. Selagimana manusia meninggalkan semua perkara ini yang saya nyatakan (mendengar perintah Allah), mereka akan dihukum sama ada cepat atau lambat.

Pada zaman Nabi, kebanyakan manusia adalah jahil dan mereka melakukan segalanya. Kemudian Islam datang, mereka menerimanya dan telah disucikan dengan mematuhi perintah Tuhan. Dan oleh itu, sesiapa pada hari ini yang melakukan kesalahan dalam keadaan jahil dan kemudian berkata, "Aku berhenti daripada perkara ini, dan sekarang, wahai Tuhanku, aku mendengar dan patuh...", kemudian, penyakit itu boleh dihilangkan dengan kehendak Tuhan sekalipun tanpa menggunakan sebarang ubat. Itu adalah rawatan baginya dan perkara itu selesai. Apabila orang yang tidak beriman, "Kufr", diberi hukuman, setiap perkara lain yang buruk juga akan diberi hukuman.

Tetapi perlu diketahui dengan baik bahawa setiap perkara yang dilarang menyebabkan penyakit, penyakit yang tidak diketahui. Seperti pada masa ini penyakit-penyakit yang tidak diketahui datang kepada kita melalui orang yang homoseks, dan tiada ubat, tiada rawatan kerana ia melawan perintah agung daripada Tuhan segala langit. Sekiranya mereka mencari beberapa rawatan, penyakit lain yang tiada harapan akan muncul, kerana Yang Maha Pencipta mencipta terlalu banyak bakteria dan virus. Ia tidak berkesudahan...

Oleh itu, perlindungan yang pertama ialah dengan tidak meletakkan tubuh dalam bahaya. Sepertimana seseorang yang meletakkan tangannya di atas wayar elektrik juga akan merasai tindak balas yang menyakitkan. Ibu bapa kepada anak yang dilahirkan dengan penyakit adalah orang yang dihukum, bukan anak itu. Orang sebegini mudah dirawat. Mudah! Sekalipun air, sumber kehidupan, boleh memberi rawatan kepada mereka dan boleh menjadi ubat.

Allah menciptakan air sejuk dan air panas. Kamu boleh berendam dalam air sejuk atau dalam air panas atau dalam lumpur, dan tubuh kamu boleh jadi seperti diperbaharui semula. Kamu boleh minum sedikit air dan ia boleh membersihkan bahagian dalaman anda. Kamu boleh makan anggur dan ia boleh menjadi seperti ubat. Kamu boleh makan tembikai dan ia akan memberikan kamu kekuatan. Kamu boleh makan gandum dan ia akan memberikan kamu tenaga. Setiap benda yang kita gunakan sebagai penyeri atau sokongan, daripada Allah Yang Maha Besar akan menjadi tenaga dan ubat untuk kita. Dengan cara itu, tiada keperluan untuk mencari ubatan lain kerana Tuhan segala langit, Tuhan Bani Adam, telah menciptakan segalanya dan memberikan sebuah rawatan untuk setiap perkara. Tenaga kehidupan berada dalam makanan dan begitulah juga setiap makanan adalah ubat. Syaratnya hanyalah dengan menyebut, "Dengan nama Allah yang telah menciptakan ini untuk kesenangan dan kesihatan para hamba-Nya", apabila hendak makan atau minum. Gunakanlah segalanya dengan nama Allah dan ia akan menjadi ubat serta rawatan untuk kamu.

Hanya itulah tujuan Tuhan menciptakannya. Bukan untuk ditinggalkan oleh para hamba-Nya. Apabila kamu pergi kepada doktor-doktor penting atau pakar-pakar yang kemudiannya berkata, "Jangan makan ini, jangan sentuh itu, jangan gunakan itu...", itu bukanlah rawatan, ia adalah sebuah hukuman kerana kamu tidak menggunakannya dengan nama Tuhan yang telah menciptakannya. Dan oleh itu Allah menghalang kamu, dan sebagai hukuman, doktor itu akan memberitahu kamu, "Jangan makan gula, jangan makan buah-buahan, jangan makan daging, jangan sentuh mentega, jangan sentuh madu...".

Manusia mesti belajar untuk kembali dan menyatakan kerendahan diri mereka kepada Tuhan segala langit. Selagimana mereka tidak melakukannya, selagimana mereka tidak menyatakan kehambaan mereka, mereka akan dihukum dan tiada apa-apa yang akan memberikan mereka rawatan atau kesihatan, sekalipun mereka membunuh seluruh dunia dengan ubat-ubatan. Seluruh dunia ini boleh dipenuhkan dengan para doktor, ubat-ubatan dan para pakar, dan itu masih mustahil untuk memberikan manusia sebarang kesihatan, atau rehat, atau ketenangan, atau kepuasan, atau menghilangkan penderitaan dan kesengsaraan mereka. Perkara ini perlu diketahui dengan sebaik-baiknya.

Saya sampaikan perkara ini kepada semua manusia supaya mereka diberi amaran dengan amaran daripada 'langit'. Setiap perkara yang telah dinyatakan dalam risalah kecil ini disertakan dengan syarat ini. Saya mengharapkan rahmat yang tiada penghujugnya daripada Tuhan segala langit agar risalah ini berguna kepada manusia. Semoga Allah merahmati kita, dan menerima kelemahan kita, dan mengurniakan kepada kita rahmat-Nya yang tidak berkesudahan agar kita dapat menjadi orang yang beriman dan hamba-Nya yang baik.


Sheikh Nazim Al-Haqqani An-Naqshbandi- 1410H/1989M


Alhamdulillah, selesai diterjemah pada 30 Oktober 2011, jam 8.20 pagi di Pejabat Komuniti HPA Kaherah, Hayyu 'Asyir. Moga Allah menerimanya sebagai amal yang baik dan bermanfaat kepada para pembaca, insyaAllah...

Muhammad Nasiruddin bin Mohd Sobri


KESIMPULAN:

1. Untuk mendapat kesihatan rohani dan jasmani, kita perlu mendengar perintah Allah dan Rasul-Nya, jika tidak, kita akan ditimpa bala dan penyakit yang tidak akan dapat dirawat oleh sesiapapun melainkan Allah.

2. Manusia sepatutnya menggunakan ubatan alamiyyah kerana ia bersesuaian dengan tubuh kita yang juga bersifat alamiyyah. Mereka yang menggunakan ubatan dadah sintetik adalah mereka yang tiada kesabaran kerana inginkan hilang rasa sakit dengan cepat, sedangkan dadah tersebut hanya merosakkan diri mereka.

3. Setiap perkara yang membahayakan jasmani dan rohani telah dinyatakan dalam Islam, sesiapa yang melanggarnya akan menerima hukuman sebagai balasan, kecuali mereka yang bertaubat dan kembali kepada Allah kerana Allah berkuasa menyembuhkan mereka sekalipun tanpa sebarang ubat.

4. Pelbagai bahan alamiyyah boleh menjadi sumber kekuatan dan rawatan untuk kita tanpa perlu bersusah payah.

5. Kita perlu membuktikan kehambaan kita kepada Allah dengan mematuhi segala perintah-Nya, jika tidak, kita akan ditimpa dengan pelbagai bala seperti penyakit yang ganjil dan tidak akan mampu diubati oleh sesiapapun sekalipun bumi ini penuh dengan para doktor dan ubatan.

Wallahu'alam...


Catatan : Di akhir risalah ini Syeikh melampirkan senarai penyakit beserta ubatan alamiyyah untuk merawat penyakit tersebut. Jika saya berkesempatan, saya akan cuba terjemahkan dan siarkan dalam blog ini, insyaAllah...

.

SUMBER ILMU PERUBATAN BUKANLAH SAINS SEMATA-MATA










Menurut Ibnu Al-Baitar, iaitu seorang pakar botani dan herbologi Islam, dalam kitabnya yang bertajuk "Ad-Durrah Al-Bahiyyah, Fi Manafi'il Abdanil Insaniah", beliau telah menyatakan bahawa sumber ilmu perubatan ada tiga iaitu;

1. Ujikaji
2. Penemuan dan persepakatan.
3. Ilham

Ujikaji ialah proses penentuan ubat dengan mencubanya pada hidupan, melalui kaedah ini kita dapat mengetahui sifat-sifat herba tersebut dan juga tahap-tahapnya sama ada bersifat panas, sejuk, basah atau kering. Sifat-sifat tersebut dapat dikesan berdasarkan rasa herba tersebut dan juga kesannya terhadap badan. Selain daripada itu, sifat herba tersebut boleh juga dikesan dengan melihat warnanya, bentuk daunnya, durinya dan banyak lagi. Teknik ini digunakan juga dalam perubatan moden dengan menggunakan kaedah penilaian yang berbeza, iaitu secara kimia.

Penemuan dan persepakatan ialah peraturan-peraturan perubatan yang ditemui dan disepakati oleh orang-orang terdahulu dan dijadikan panduan dalam merawat. Contohnya ialah, bisa ular boleh dirawat dengan dagingnya dan begitulah juga untuk bisa haiwan-haiwan lain yang boleh juga dirawat dengan dagingnya sendiri. Peraturan-peraturan tersebut boleh dibuktikan semula dengan menggunakan teknik ujikaji.

Ilham ialah gerak hati yang Allah kurniakan kepada sesuatu hidupan sebagai panduan baginya untuk merawat dirinya sendiri. Ia boleh terhasil dalam beberapa bentuk, antaranya ialah;

1. Wahyu. Ilham yang tertinggi darjatnya ialah apa yang telah diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad dalam bentuk wahyu. Wahyu-wahyu ini kebanyakannya dikumpulkan oleh sesetengah ulama dalam pelbagai kitab, antaranya ialah kitab "At-Tibbun Nabawi" yang dikarang oleh Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah.

2. Ilham kepada haiwan. Iaitu dengan memerhatikan cara-cara yang dilakukan oleh sesetengah haiwan apabila ditimpa sesuatu penyakit, atau memerhatikan herba yang digunakan oleh haiwan tersebut. Kaedah ini hampir sama dengan kisah Habil dan Qabil kerana burung gagak menjadi panduan dalam menyelesaikan kematian yang berlaku.

3. Ilham yang datang kepada sesetengah perawat apabila ia dapat memilih titik tertentu untuk berbekam atau memilih herba tertentu kepada pesakit melalui gerak hatinya. Untuk mendapat ilham yang sebegini, biasanya seseorang itu mestilah mencapai tahap kerohanian yang tinggi, iaitu dengan mendekatkan diri kepada Allah dan melakukan amal soleh.

4. Memerhatikan persamaan yang wujud antara herba tertentu dengan organ tertentu pada tubuh manusia. Dengan persamaan itu ia dapat menyimpulkan bahawa herba tersebut sesuai dengan organ itu. Contohnya ialah potongan lobak yang menyerupai mata, maka ia baik untuk mata. Bentuk daun pegaga yang menyerupai otak, maka ia baik untuk otak. Tumbuhan yang menumpang pada pokok tertentu lalu melayukan atau mematikan pokok yang ditumpangnya, maka ia baik untuk mengecutkan atau mengeringkan ketumbuhan atau kanser dalam badan.

Walaubagaimanapun, sumber-sumber ilmu perubatan selain sains tidaklah bertentangan dengan sains itu sendiri, bahkan perkara tersebut adalah mustahil kerana Tuhan Yang memiliki ilmu sains, Yang mencipta aturan alam ini, Yang memberikan ilham, Yang menurunkan wahyu, Yang mentakdirkan penemuan baru, Yang menciptakan penyakit dan ubatnya, adalah Tuhan yang sama, iaitulah Allah Yang Maha Pencipta.

Jika berlaku juga, itu bererti ada kesalahan pada salah satu, atau kedua-duanya, atau mungkin juga disebabkan belum ada penemuan yang lengkap mengenai sesuatu perkara. Percanggahan hakiki hanya akan berlaku apabila wujudnya Tuhan selain Allah, kerana setiap Tuhan itu akan mempunyai aturannya yang tersendiri.

"Sekiranya pada kedua-duanya (langit dan bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah, pastilah akan rosak binasa kedua-duanya. Maka Maha Suci Allah Yang memiliki 'Arasy daripada apa yang mereka sifatkan."

(Al-Anbiya' : 22)

Kesimpulannya, sumber ilmu perubatan bukanlah sains semata-mata, maka janganlah dinafikan peranan wahyu dan ilham yang benar sebagai salah satu sumber ilmu perubatan, bahkan wahyu lebih terjamin berbanding akal biasa yang selalu ada salahnya.


Wallahu'alam...

Mari sama-sama kita saksikan sebuah video yang menunjukkan beberapa herba yang ditemui secara ilham dan telah dibuktikan kebenarannya oleh sains.






DAFTAR SEGERA!! KPJ 2011 AKAN DIADAKAN TIDAK LAMA LAGI!!!





Bismillahirrahmanirrahim.

Sekarang tibalah masa yang dinanti-nantikan oleh warga penuntut ilmu di Mesir. Pihak Komuniti HPA Kaherah telah membuka pendaftaran bagi program "KURSUS PERUBATAN JAWI 2011" (KPJ 2011). Berikut dinyatakan beberapa maklumat berkaitan program ini.

SUBJEK KURSUS
2. Refleksologi
3. Akupunktur

TARIKH
26 dan 27 September 2011

HARI
Isnin dan Selasa

MASA
7.00 pagi (26 September) hingga 6.00 petang (27 September).

TEMPAT
Belum ditentukan, akan diadakan di sekitar Kaherah, insyaAllah.

PENCERAMAH
Herbalis HPA Ustaz Abdul Hadi bin Mohd Isa

YURAN
LE 200 (perlu dijelaskan sebelum 21 September 2011)


PENYERTAAN 
Terhad untuk 150 orang peserta sahaja, sila daftar segera.


TARIKH TUTUP PENYERTAAN
21 September 2011



TENTATIF PROGRAM

26 September 2011 / Isnin

7.00 AM                 : Pendaftaran
8.00                       : Majlis perasmian
8.30                       : Slot 1 (Refleksologi)
10.00                     : Rehat dan makan ringan
10.30                     : Slot 2 dan Soal jawab (Refleksologi)
12.00 PM                : Rehat, solat Zohor dan makan berat
1.00                        : Sesi praktikal (Refleksologi)
3.30                        : Solat Asar dan rehat
5.30                        : Makan berat
6.00                        : Solat Maghrib
6.15                        : Slot 1 (Perubatan JAWI)
7.15                        : Solat Isyak
7.30                        : Slot 2 dan Soal jawab (Perubatan JAWI)
9.30                        : Praktikal (Perubatan JAWI)
10.30                     : Bersurai

27 September 2011 / Selasa

7.00 AM                 : Pendaftaran
8.00                        : Slot 1 (Akupunktur)
10.00                     : Rehat dan makan ringan
10.30                     : Slot 2 dan Soal jawab (Akupunktur)
12.00 PM               : Rehat, solat Zohor dan makan berat
1.00                        : Praktikal (Akupunktur)
3.30                        : Rehat, Solat Asar
4.00                        : Soal jawab (Umum)
5.00                        : Majlis penutup dan penyerahan sijil
6.00                        : Bersurai



KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT, SILA HANTARKAN;

1. Nama Penuh
2. Nombor Kad Pengenalan
3. E-mel
4. Nombor telefon

kepada bendahari KPJ 2011,

Ikhwah : Zikrilhalim b Md. Akhir - 014 662 5457

Akhawat : Rabi'atul Adawiah bt Sulaiman - 011 546 3736


PENTING

20 Sepetember 2011 adalah tarikh terakhir pendaftaran dan hari terakhir untuk para peserta menjelaskan yuran kepada bendahari. Sebarang penarikan diri selepas tarikh tersebut mestilah diganti dengan orang lain, jika tidak, ia perlu membayar peratus tertentu daripada yuran program dan akan diberikan alat perawatan serta fail program, tanpa sijil penyertaan.

Ini kerana pada 21 September 2011, para AJK program akan memulakan proses percetakan bahan kursus dan pembelian alat rawatan. Harap maklum.


* Sebarang perubahan atau penambahan maklumat akan dimaklumkan kemudian. Rajin-rajinlah menyemak maklumat terkini di laman rasmi KHK ini. Doakan agar program ini berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya, insyaAllah. Jangan lupa untuk sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan anda. Syukran atas kerjasama anda.


Penceramah KPJ 2011, Herbalis HPA Ustaz Abdul Hadi bin Mohd Isa.


PENCARIAN BAKAT NASYID



 

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum w.b.t
Kepada warga penuntut ilmu di Mesir, di sini ada satu berita baik buat mereka yang berbakat dalam bidang nasyid. KHK sedang mencari bakat nasyid daripada kalangan pelajar Mesir, tidak kira sama ada pelajar perubatan atau pengajian Islam, tidak kira sama ada bakat suara atau alat muzik.

Tujuan pencarian ini adalah untuk mempelbagaikan wasilah dalam menyampaikan mesej dan perjuangan HPA di Mesir. Moga ada dalam kalangan kita yang sudi menyumbang bakat demi menyampaikan dakwah Islam. Keutamaan untuk ikhwah sahaja buat masa ini. Jika ada yang berminat, boleh hubungi Pengarah Eksekutif KHK, 011-765 0221. Sekian dimaklumkan.





.

"ISLAMIC HEDONISM"





Kebanyakan orang mengetahui bahawa hedonisme adalah suatu falsafah pemikiran yang tersasar dari kebenaran. Para pemikir lampau mencari-cari apakah kebenaran hakiki. Pelbagai idea dan teori muncul untuk mendefinisikan kebenaran. Selain materialisme, hedonisme merupakan salah satu falsafah yang mempengaruhi kebanyakan manusia sama ada secara sedar atau tidak. Penganut hedonisme meyakini bahawa kebenaran ialah keseronokan dan hiburan. Bagi mereka, sesuatu itu dianggap benar dan haq apabila ia boleh mendatangkan keseronokan dan kegembiraan, khususnya keseronokan materialistik. Perkara-perkara yang tidak menyenangkan adalah batil dan salah menurut mereka.

Daripada falsafah ini, lahirlah manusia-manusia yang merasakan hidupnya sudah cukup apabila ia boleh bekerja dengan gembira, bersama anak dan isteri, serta berjalan-jalan makan angin di sana-sini. Itulah kepuasan hidup mereka. Bahkan fahaman ini menjadi lebih teruk apabila ia diadun dengan fahaman individualistik. Mereka inginkan keseronokan dalam hidup dan tidak kisah jika orang lain tidak bergembira, seolah-olah orang sebegini hidup seorang diri di dunia ini, apa pun yang berlaku di luar sana, lantaklah, asalkan mereka bahagia.

Kini, hedonisme, individualistik sudah pandai diadun dengan beberapa nilai Islam, maka lahirlah "islamic hedonism". Golongan sebegini suka berseronok dan bergembira dengan perkara-perkara yang kelihatan islamik. Mereka kelihatan seolah-olah bergembira dengan solat, puasa, zakat dan haji. Ditambah pula dengan program-program yang kononnya bersifat ukhuwwah. Dirasakan mantap tarbiahnya, kerana "zuhud" yang dimiliki, sehingga tiada masa untuk mengambil tahu hal urusan umat Islam.

Mereka merasakan ukhuwwahnya mantap, persaudaraan mereka hebat dan sebagainya, namun, di sebalik itu semua mereka tidak peduli dengan nasib umat Islam yang lain. Tetapi mereka pandai bermuslihat, dicaknanya urusan umat Islam di Palestin dan umat-umat Islam yang jauh dari tempatnya, mereka juga lantang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap musuh-musuh Islam yang merampas tanah umat Islam serta hak-hak umat Islam yang lain. Tapi, itu semua hanya muslihat. Apabila timbul isu hak umat Islam yang sangat dekat dengan mereka, terus manjadi pengecut dan penakut tahap melampau. Serba salah untuk membuat keputusan. Jika dipertahankan hak umat Islam yang dekat, tentulah periuk nasinya terjejas, jika tidak dipertahankan, tentulah sikap mereka terbongkar. Mereka terus dengan dilema yang panjang dan bersikap "double standard".

Mereka lebih suka bergembira dengan sebahagian daripada ajaran Islam. Apa yang tidak menjejaskan periuk nasi mereka, mereka ambil dan amalkan. Mereka suka berehlah, berjalan-jalan, mandi-manda, menyanyi, ber"LDK", puasa sunat, qiamullail dan beberapa lagi amalan yang dirasakan menjamin periuk nasi dan tidak dikaitkan dengan penentang kerajaan. Alangkah bahagianya mereka itu... Namun, dunia bukan tempatnya. Dunia tempat menanam benih perjuangan, hasilnya dituai di syurga sana.

Ukhuwwah yang dirasakan mantap hanyalah untuk sesama mereka sahaja. Sesama mereka sangatlah mesra sampai mencium pipi, kagum jika dilihat. Tetapi, bukan sebarangan orang yang dapat merasai "nikmat ukhuwwah" mereka. Amat sukar mendapat ciuman mesra sebegitu, kerana dengan orang yang tidak bersama mereka, amatlah sukar untuk bertegur sapa, memberi salam pun sukar, meskipun sesama muslim.

Sudahlah, cukuplah kamu dengan "syok sendiri" yang kamu perjuangkan. Bersamalah kita berganding bahu mempertahankan Islam yang sebenarnya, bukan ambil yang menjaga periuk nasi sahaja. Jika tidak, "perjuangan" kamu hanyalah main-main, hanya seronok-seronok atas nama agama, hanya "islamic hedonism"... 

Janganlah asyik dengan jalan tengah kamu, maralah ke arah kebenaran yang haq. Apakah kamu menyangka Islam akan bangun dengan golongan yang "syok sendiri"? Sudahlah kamu...


JALAN TENGAH MERUPAKAN JALAN YANG SENTIASA MUDAH DAN TIADA KRITIKAN. NAMUN MALANGNYA, ANTARA HAQ DAN BATIL, TIDAK PERNAH ADA JALAN TENGAH, DALAM PERJUANGAN TIDAK PERNAH ADA YANG MUDAH, DALAM PERJUANGAN TIDAK PERNAH SUNYI DARIPADA KRITIKAN...


.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...